Jumaat, 20 Januari 2017

Perlis, ATM terikat

 
PEMAIN Perlis Park Yong Jun (kiri) mengawal bola daripada direbut Ikbolion Babakhanov (kanan) pemain ATM pada perlawanan Liga Perdana di Stadium Tuanku Syed Putra, semalam.
Hafizudin Mohd Safar
sukan@hmetro.com.my

Kangar: Kelebihan bermain di halaman sendiri gagal dimanfaatkan Perlis apabila sekadar seri 1-1 dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada perlawanan pembukaan Liga Perdana di Stadium Tuanku Syed Putra, di sini, semalam.
Pasukan pelawat membuka jaringan pada minit ke-36 hasil sepakan penyerang, Mohd Rafizol Roslan yang gagal ditepis penjaga gol Mohd Nasril Nourdin.

Walaupun kedua-dua pasukan melakukan serangan namun gagal menghasilkan gol sehingga separuh masa pertama tamat.
Bermula separuh masa kedua, Perlis cuba mencari gol penyamaan dan usaha mereka berhasil apabila menjaringkan gol minit ke-88 hasil sepakan Muhd Zafuan Azeman yang menumpaskan penjaga gol Mohd Hafizuddin Azuhar.
Kedua-dua pasukan kekal seri 1-1 sehingga tamat perlawanan.
Ketua jurulatih Perlis Razip Ismail berkata, beliau gembira dengan keputusan seri itu kerana barisan kesebelasan utama yang dirancangnya sebelum ini terpaksa dirombak di saat akhir atas beberapa faktor.
“Sememangnya perlawanan pembukaan selaku tuan rumah kami mengharapkan kemenangan, namun tetap berpuas hati dengan seri.
“Masih banyak ruang untuk dibaiki dan kami harap keserasian antara pemain import dan tempatan bertambah baik selain mendapat kemenangan perlawanan kedua nanti.”
Sementara itu, ketua jurulatih ATM Azhar Abdullah pula berkata, pihaknya tidak menyangka dapat mencuri satu mata kerana pasukannya tidak berada pada kemampuan maksimum.
Azhar berkata, hampir semua pemain tempatan adalah muka baru dan kurang berpengalaman.
“Saya berpuas hati dengan keputusan (seri) tapi berharap akan ada peningkatan untuk aksi akan datang,” katanya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 January 2017 @ 5:05 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan