Selasa, 25 April 2017

MPPJ ungguli Kumpulan B Liga Perdana

ARKIB : 05/08/2004
JUARA Piala Malaysia, MPPJ Selangor muncul juara Kumpulan B bola sepak Liga Perdana setelah menundukkan SKMK Kelantan 5-2 di Stadium Petaling Jaya, Kelana Jaya semalam ketika persaingan untuk merebut gelaran Kumpulan A masih lagi terbuka.
Ia sekali gus menjadikan MPPJ sebagai pasukan pertama menempah tempat ke Liga Super pada musim depan.
MPPJ, yang masih memiliki baki satu perlawanan, telah mengumpul 45 mata untuk tidak lagi mampu dikejar oleh MK Land, pesaing terdekat yang akan mereka temui dalam perlawanan terakhir Ahad ini.
Mereka bagaimanapun masih perlu menunggu siapakah lawan yang akan ditemui untuk merebut gelaran juara Liga Perdana dalam perlawanan playoff pada 14 Ogos setelah persaingan untuk merebut takhta Kumpulan A masih terbuka di antara Selangor dan Telekom Melaka.
Selangor merampas tangga teratas Kumpulan A semalam setelah menumpaskan Johor FC 2-0 di Stadium Shah Alam untuk memiliki kelebihan dari perbezaan jumlah gol setelah masing-masing mengumpul 47 mata.
Johor FC telah menghabiskan kesemua 24 perlawanannya, dan dengan itu membuka persaingan untuk merebut gelaran juara Kumpulan A kepada hanya Selangor dan pasukan di tangga ketiga, Telekom Melaka.
Selangor memiliki baki perlawanan dengan Tentera pada Ahad ini manakala Telekom Melaka yang mengumpul 46 mata memiliki peluang lebih cerah kerana masih berbaki dua perlawanan - menentang Brunei malam ini dan TNB Kelantan pada Sabtu.
Sementara itu, pasukan di tangga keempat Kumpulan A, PKNS Selangor sekadar seri tanpa jaringan dengan TNB Kelantan di Stadium UiTM, Shah Alam untuk mengumpul 43 mata.
Bagaimanapun, PKNS bersama-sama Selangor, Telekom Melaka dan Johor FC sudah melayakkan diri ke persaingan Piala Malaysia.
Pasukan di tangga kelima Kumpulan B, Terengganu terlepas peluang untuk merebut tempat ke Piala Malaysia setelah seri 0-0 dengan Johor di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Johor Bahru.
Terengganu kini mengumpul 32 mata, dan walaupun mereka memenangi perlawanan terakhir kelak harapan untuk memintas kedudukan Negeri Sembilan di tangga keempat sudah terhapus.
Johor pula kekal di tangga keenam dengan 31 mata.
Negeri Sembilan terjatuh satu anak tangga dari tempat ketiga selepas dikejutkan oleh pasukan tercorot, Kelantan dengan keputusan 4-1 di Stadium Sultan Mohamed IV, Kota Bharu.
Keputusan itu menyaksikan mereka dipintas oleh Kuala Lumpur yang seri 2-2 dengan Melaka di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.
Kongsi Konten di :



© Utusan Melayu (M) Bhd 

Isnin, 24 April 2017

Liga Perdana - Saingan semakin sengit

ARKIB : 27/07/2004
PERTARUNGAN sengit merebut empat tempat ke Piala Malaysia selain perebutan satu slot ke Liga Super dari setiap kumpulan dalam kempen bola sepak Liga Perdana musim ini kini semakin hampir ke penghujung.
Kempen tahun ini hanya berbaki tiga dan empat perlawanan dan Telekom Melaka serta juara Piala Malaysia musim lalu, MPPJ Selangor meletakkan pasukan masing-masing pada posisi terbaik untuk `dinaik taraf' ke Liga Super musim depan apabila masing-masing gagah menguasai Kumpulan A dan B.
Skuad Telekom Melaka yang dibimbing jurulatih, Irfan Bakti mengumpul 43 mata selepas 20 perlawanan, hasil 14 kemenangan dan satu seri untuk menguasai Kumpulan A.
Namun, kedudukan Telekom Melaka belum lagi terjamin kerana Johor FC dan Selangor masing-masing hanya dua mata di tempat kedua dan ketiga manakala pasukan tangga keempat, PKNS hanya empat mata di belakang.
Kedudukan menarik itu jelas menunjukkan bahawa pertarungan merebut tempat ke Liga Super dari kumpulan ini sengit hingga ke akhir kempen.
Begitu juga Kumpulan B, penyandang juara Piala Malaysia, MPPJ Selangor menguasai tangga teratas dengan 41 mata tetapi mereka hanya dipisahkan empat mata dengan MK Land.
MPPJ cuma memiliki kelebihan dari segi kurang satu perlawanan berbanding MK Land yang telah bermain 21 perlawanan dan memiliki tiga baki pertarungan.
Namun berdasarkan prestasi semasa, MPPJ bimbingan bekas pemain kebangsaan, Dollah Salleh mampu muncul juara kumpulan dan layak ke Liga Super.
Hanya juara kumpulan layak ke Liga Super musim depan manakala dua pasukan terbawah dalam Liga Super akan turun ke Liga Perdana.
Dalam pada itu pertarungan merebut empat tempat ke Piala Malaysia pula masih terbuka walaupun Telekom Melaka, Johor FC, Selangor dan PKNS dilihat memiliki peluang lebih cerah untuk layak dari Kumpulan A.
Dari Kumpulan B pula, MPPJ, MK Land, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan menguasai empat tempat teratas dan bakal layak ke Piala Malaysia jika masing-masing mampu mengekalkan prestasi.
Hanya 16 pasukan akan beraksi dalam Piala Malaysia. Pasukan yang layak bermain dalam pertandingan itu ialah semua lapan pasukan dalam Liga Super, empat pasukan teratas dari Kumpulan A dan empat pasukan teratas Kumpulan B.

Telekom Melaka di tangga teratas

ARKIB : 26/07/2004
PERSAINGAN dalam Kumpulan A bola sepak Liga Perdana semakin sengit apabila tangga teratas berpindah tangan kepada Telekom Melaka manakala dalam Kumpulan B, MPPJ Selangor terus mengukuhkan cengkamannya walaupun sekadar seri dalam persaingan semalam.
Di Stadium Stadium Sultan Mohamed IV, Kota Bharu, Telekom Melaka menundukkan pasukan tangga tercorot, JPS Kelantan 3-0 sekali gus membolehkan mereka merampas kedudukan teratas Kumpulan A daripada Johor FC.
Telekom kini mengumpul 43 mata daripada 20 perlawanan, dua di depan Johor FC yang telah beraksi lebih satu perlawanan.
Selangor pula melonjak ke tangga ketiga hasil kemenangan 1-0 ke atas TNB Kelantan di Stadium Shah Alam. Kemenangan itu memberikan mata ke-41 buat Selangor selepas 20 perlawanan, memintas PKNS yang mengumpul 39 mata.
Dalam pertembungan di Stadium TLDM, Lumut, Tentera dan Polis sama kuat apabila seri 2-2.
Dalam persaingan Kumpulan B, Terengganu terlepas mata penuh apabila Shahril Arsat menjaringkan gol penyamaan 2-2 untuk MPPJ pada minit kecederaan perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.
MPPJ kini mengumpul 41 mata selepas 20 perlawanan, lima mata di depan pasukan di tangga kedua, MK Land yang sekadar seri 1-1 dengan Kelantan di Stadium MPS, Selayang.
Kuala Lumpur pula merampas tangga ketiga daripada Negeri Sembilan apabila menundukkan Johor 1-0 di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Johor Bahru. Kuala Lumpur kini mengumpul 32 mata, Negeri Sembilan 29 mata manakala Johor di tempat kelima dengan 27 mata.
Melaka menundukkan SKMK Kelantan 1-0 di Stadium Hang Tuah, sekali gus mengambil alih kedudukan ketujuh dengan 23 mata.

MPPJ nyaris malukan Norwich

ARKIB : 15/07/2004
KELAB Liga Perdana England, Norwich City dipaksa mengerah seluruh tenaga sebelum mencatat kemenangan tipis 3-2 ke atas MPPJ Selangor dalam perlawanan bola sepak persahabatan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras semalam.
Malah, MPPJ yang kelihatan lebih mengancam pada babak awal namun terpaksa berpuas hati dengan kedudukan 1-1 sebelum rehat.
Bruno Martelotto hanya memerlukan 58 saat untuk mengejutkan Norwich dengan jaringan pertama perlawanan manakala Sasa Brenezac merapatkan jurang gol pada minit ke-72.
Norwich bagaimanapun menyelamatkan maruah mereka selaku juara Divisyen Satu England menerusi jaringan Leon McKenzie (minit 41), Jim Brennan (minit 66) dan Ryan Jarvis (minit 67).
Perlawanan semalam merupakan yang pertama dalam siri jelajah Norwich ke Malaysia.
Norwich akan menamatkan jelajah ke Malaysia dengan bertemu skuad kebangsaan Sabtu ini di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Sementara itu, dalam kempen Liga Super, hasrat Pulau Pinang yang mahu mencatat kemenangan pertama di gelanggang keramat tidak kesampaian apabila tewas kepada Pahang 4-1 di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.
Kemenangan bermakna hasil dua jaringan Mamadou Diallo pada minit ke-18 dan 72 dan masing-masing satu gol oleh Indra Putra Mahayuddin (minit 26) dan Mohd. Fadzli Saari (minit 47) mengukuhkan Pahang di persada Liga Super manakala gol sagu hati Pulau Pinang dijaringkan oleh M. Nagaraja (minit 46). Pahang kini mengumpul 34 mata selepas 15 perlawanan.
Pencabar terdekat, Perak pula dikecewakan oleh Sarawak apabila kalah 4-2 di Stadium Negeri, Kuching sekali gus ketinggalan empat mata di belakang Pahang.
Gol-Gol Sarawak dijaringkan oleh Robert Eshun (minit 15), Fernendo Manuel Co (minit 21 dan 86) serta Sapian Abdul Wahid (minit 25) manakala Perak membalas menerusi K. Nanthakumar (minit 80) dan Frank Seator (minit 94).
Kemenangan itu bagaimanapun tidak mengubah kedudukan Sarawak di tangga kedua tercorot dengan 12 mata.
Perlis pula membelasah Kedah 4-0 di Stadium Utama, Kangar. Gol-gol Perlis disumbangkan oleh Yusri Che Lah (minit 2 dan 16), Phillimon Chipeta (minit 88) dan gol sendiri V. Thirumurugam (minit 74) yang cuba menendang bola sepakan sudut Yusri. Perlis kekal di tangga keempat dengan 24 mata, empat mata di belakang Public Bank di tangga ketiga.
Sementara itu, MK Land Selangor merampas tangga kedua Kumpulan B Liga Perdana apabila menumpaskan SKMK Kelantan 4-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.
Kemenangan itu membolehkan MK Land mengumpul 32 mata, memintas Negeri Sembilan yang mengumpul 31 mata, dan merapatkan diri dengan pendahulu, MPPJ Selangor yang berada di tangga teratas dengan 36 mata.

Public Bank menang tipis

ARKIB : 14/07/2004
PUBLIC Bank Selangor memastikan mereka terus bersaing untuk merebut kejuaraan Liga Super setelah menang tipis 1-0 ke atas Sabah yang bermain dengan 10 orang di Stadium Shah Alam semalam.
Sabah kehilangan Reithudin Emran setelah dia mengutip kad kuning kedua pada minit dan ia jelas menyukarkan rentak permainan mereka.
Namun, Public Bank gagal mencari sasaran sehinggalah Milan Strelec mendapat umpanan cantik Ivan Ziga untuk gol kemenangan pada minit ke-66.
Jaringan itu walaupun mengekalkan Public Bank di tangga ketiga tetapi ia sekurang-kurangnya memberikan tekanan terhadap dua pasukan teratas, Pahang dan Perak.
Pahang kini mengumpul 31 mata, satu mata di depan Perak manakala Public Bank ketiga dengan 28 mata. Pahang dan Perak bagaimanapun masih mempunyai satu perlawanan dalam tangan setelah Public Bank bermain 15 perlawanan.
Perak berpeluang memintas Pahang apabila bertemu Sarawak di Kuching malam ini manakala skuad Tok Gajah akan bertemu Pulau Pinang di gelanggang keramat, Stadium Bandaraya yang baru sahaja siap dibaik pulih.
HARI INI:
LIGA SUPER:
P. PINANG lwn PAHANG
(Stadium Bandaraya, P. Pinang - 8.45mlm)
SARAWAK lwn PERAK
(Stadium Negeri, Kuching - 8.45mlm)
PERLIS lwn KEDAH
(Stadium Utama, Kangar - 8.45mlm)
LIGA PERDANA:
KUMPULAN B
SKMK KELANTAN lwn MK LAND
(Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah, Kota Bharu - 8.45mlm)

Melaka Telekom perkukuh kedudukan

ARKIB : 12/07/2004
Johor menewaskan Kelantan 2-0 dalam perlawanan bola sepak kumpulan B Liga Premier di Stadium Tan Sri Datuk Hassan Yunos, Larkin, malam tadi.
Gol kemenangan Johor itu dijaringkan dua pemain importnya, Daniel John Watkins pada minit ke-27 dan Tomislav Pondeljak pada minit ke-44.
Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan B di Kuala Terengganu, pasukan tuan rumah mengalahkan Kuala Lumpur 3-0 dalam perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah.
Terengganu membuka tirai jaringan pada minit ke-17 hasil rembatan Md. Shaharizan Mat Rani.
Shaharizan menggandakan gol Terengganu pada minit ke-61. Gol keduanya diperolehi menerusi satu tendangan cantik dari luar kotak penalti.
Zairo Anuar Zailani memperkukuhkan kedudukan Terengganu apabila menyempurnakan tendangan penalti pada minit ke-69.
Di Kota Baharu, Kelantan TNB mengalahkan Kelantan JPS 2-1 dalam perlawanan Kumpulan A di Stadium Sultan Muhammad Keempat.
Kedua-dua gol Kelantan TNB diperolehi pada separuh masa pertama hasil sentuhan pemain importnya, Marcel Pyciat pada minit ke-10 dan 17.
Gol tunggal Kelantan JPS dijaringkan oleh Zahariman Ghazali pada minit ke-44.
Di Kuala Lumpur, Melaka Telekom membawa pulang tiga mata penuh setelah menang tipis 1-0 ke atas Polis dalam perlawanan Kumpulan A di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.
Gol kemenangan pasukan pelawat dijaringkan oleh ketua pasukan, Nazzab Hidzan pada masa kecederaan separuh masa pertama menerusi sepakan penalti. - Bernama
Kumpulan A
Kelantan TNB 2 Kelantan JPS 1
Polis 0 Melaka Telekom 1
Kumpulan B
Johor 2 Kelantan 0
Terengganu 3 K. Lumpur 0

Jumaat, 21 April 2017

Public Bank teguh

ARKIB : 16/05/2004
PUBLIC Bank terus menguasai takhta teratas bola sepak Liga Super apabila menewaskan Kedah 2-1 di Stadium Shah Alam, semalam.
Bagaimanapun, Kedah memperoleh gol awal Shariman Che Omar pada minit ke-35. Public Bank bangkit menghasilkan gol menerusi jaringan penalti Gustavo Fuentes pada minit ke-54 dan Ivan Zega pada minit ke-74.
Di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang turut memperkukuhkan kedudukannya di tangga kedua menerusi kemenangan tipis 1-0 ke atas Perak menerusi gol Irwan Fadli Idrus pada minit ke-87.
Di Stadium Negeri, Batu Kawan, Pulau Pinang tewas 3-1 kepada Perlis.
Perlis memperoleh jaringan menerusi Andren Jurad Chamrong (minit 16) dan Mohd. Faizal Esahar (minit 66, 78) manakala Viatcheslav Melnikov menghasilkan gol tunggal Pulau Pinang pada minit ke-65.
Di Stadium Sarawak, tuan rumah Sarawak mengatasi Sabah 3-1.
Sarawak mendapat gol menerusi sepakan penalti Fernando Manuel Horacio pada minit ke-14 dan gol minit ke-18 serta jaringan Gilbert Cassidy Gawing pada minit ke-62.
Gol tunggal Sabah dihasilkan Leosmar Santos de Nascimento pada minit ke-17.

Selasa, 18 April 2017

Public Bank kekal teratas

ARKIB : 25/04/2004
PUBLIC BANK SELANGOR yang bermain 10 orang dalam tempoh 70 minit perlawanan, masih mampu mencatat kemenangan untuk terus menguasai tangga teratas bola sepak Liga Super selepas mengatasi Perlis 2-0 dalam aksi di Stadium Shah Alam, semalam.
Pasukan E. Evalarasan kehilangan ketua pasukan, A. Ganeson pada minit ke-24 selepas diperintah keluar padang kerana mengasari Lamin Conteh Jr. tetapi dua gol jaringan Gustavo Fuentes pada minit ke-33 dan sepakan penalti minit 83 memberi tiga mata penuh buat Public Bank.
Mereka kini mengumpul 13 mata selepas enam perlawanan tetapi hanya satu mata di depan Pahang yang turut menang di Kuantan.
Skuad Tok Gajah terus mengecewakan pasukan tangga terbawah, Kedah dengan kemenangan 4-3 di Stadium Darul Makmur untuk kekal di tangga kedua liga dengan 12 mata.
Pasukan pelawat mengejutkan tuan rumah dengan gol pendahuluan menerusi Marcos Magno seawal minit kelima tetapi pemain import Pahang, Anthony Milicic menyamakan kedudukan lima minit kemudian.
Begitupun, Kedah kembali meletakkan pasukan di depan dengan gol kedua menerusi penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Rakhli tiga minit selepas babak kedua bermula.
Tok Gajah menggandakan asakan untuk kembali mencari gol penyamaan dan memperoleh dua gol dalam tempoh dua minit menerusi Lucas pada minit ke-54 dan Hairuddin Omar seminit kemudian untuk kedudukan 3-2.
Fadzli Saari melegakan kem pasukan Pahang dengan gol keempat pada minit ke-68 sebelum Magno sekali lagi menemui sentuhan untuk gol ketiga Kedah pada minit ke-75.
Di Stadium Perak, Ipoh, tuan rumah menundukkan Sabah 2-0, kemenangan kedua skuad Seladang selepas lima perlawanan.
Ricardo Silva dan Frank Seator muncul wira Perak apabila menjaringkan gol masing-masing pada minit ke-25 dan 71.
Kemenangan itu meletakkan Perak di tangga ketiga dengan sembilan mata untuk memintas Sabah menerusi kelebihan perbezaan jumlah gol.
Di Stadium Negeri, Batu Kawan, Pulau Pinang gagal melebarkan kedudukan selepas sekadar seri tanpa jaringan dengan Sarawak.
Satu kad merah dilayangkan dalam perlawanan itu ke atas pemain Sarawak, Mohd. Fadly Kassim kerana mengasai pemain Pulau Pinang, Cristian Teador.
Sementara itu dalam aksi Liga Perdana, rekod tanpa kalah pendahulu liga Kumpulan B, Johor akhirnya lebur apabila tewas 3-1 kepada Terengganu di gelanggang sendiri.
MK Land menewaskan SKM Kelantan 2-1 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu manakala Telekom Melaka menang 2-0 ke atas Brunei di Stadium Hang Tuah.

Public Bank rampas tangga teratas

ARKIB : 18/04/2004
PUBLIC BANK mengambil kesempatan di sebalik kekalahan pendahulu, Sabah untuk merampas kedudukan tangga teratas bola sepak Liga Super selepas mencatat kemenangan 2-1 ke atas Sarawak dalam perlawanan di Stadium Sarawak, Kuching, semalam.
Sabah kecundang 3-0 kepada Pulau Pinang manakala pasukan tangga kedua sebelum ini, Pahang pula hanya mampu seri 2-2 di Kangar.
Public Bank kini mengumpul 10 mata, hanya satu mata di depan Pahang yang melonjak ke tangga kedua dan Sabah ketiga juga dengan sembilan mata.
Public Bank memperoleh gol menerusi Milan Strelec dan Fakrurazi Rozi pada minit ke-57 manakala gol tuan rumah dijaringkan Rodriga Anderson minit ke-81.
Sabah dikecewakan Pulau Pinang di Stadium Batu Kawan menerusi jaringan gol oleh Azli Ahmad pada minit ke-65, Mohd. Saufi Ibrahim (79) dan Viatcheslav Melnikov (89).
Dua gol jaringan pemain import, Lamin Conteh Jr. pada baki 10 minit terakhir perlawanan mengecewakan Pahang yang mendahului 2-0 untuk mengikat kedudukan 2-2 di Stadium Utama, Kangar.
Pahang kelihatan hampir meraih tiga mata apabila berada di depan 2-0 menerusi dua gol jaringan Antony Milicic pada minit ke-41 dan 53.
Bagaimanapun, Conteh Jr. membalas juga dengan dua gol menerusi penalti minit ke-84 sebelum menggamatkan penyokong tuan rumah dengan gol penyamaan pada minit terakhir perlawanan.
Sementara itu dalam aksi perlawanan kedua pusingan kedua Piala FA, juara bertahan, Negeri Sembilan layak ke pusingan ketiga selepas membelasah TNB Kelantan 5-1 untuk mara dengan agregat 6-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Polis turut menempah tiket ke pusingan ketiga selepas mengatasi Kelantan 1-0 untuk menang agregat 3-2 di Stadium Sultan Mohamed IV.

Ahad, 16 April 2017

Skuad Public Bank mula tunjuk belang

ARKIB : 04/04/2004
PASUKAN bertaraf kelab, Public bank Selangor terus membuat kejutan apabila menewaskan Pulau Pinang 3-1 dalam saingan bola sepak Piala Super di Stadium Shah Alam, semalam.
Gol-gol Public Bank dihasilkan jaringan hatrik Gustavo Andres Fuentes pada minit ke-20, 63 dan 70.
Jaringan tunggal Pulau Pinang pula diperoleh menerusi M. Nagarajan pada minit ke-49.
Juara liga, Perak pula hanya seri tanpa jaringan dengan Perlis di Stadium Perak.
Tidak banyak peluang dan gerakan menarik dicipta kedua-dua pasukan dengan bola lebih banyak berlegar di tengah padang.
Sementara itu di Stadium Likas, Kota Kinabalu, pasukan pelawat Kedah terus dirundung malang apabila tewas 2-1 kepada Sabah.
Penyerang Akmal Rizal Rakhli menceriakan skuad Kedah menerusi jaringannya pada minit ke-25 tetapi kegembiraan pasukan pelawat tidak lama apabila Leosmar S. Nascimento menyamakan kedudukan dua minit kemudian.
Sebaliknya Robert Mark Gasper menambah derita Kedah apabila memperoleh gol kemenangan Sabah pada minit ke-56.
Di Stadium Darul Makmur, Kuantan, tuan rumah Pahang terikat 1-1.
Bagaimanapun, Pahang dikejutkan oleh jaringan pendahuluan Sarawak yang dihasilkan Kim Tyrone Grant pada minit ke-42 sebelum Indra Putra Mahayuddin menyamakan kedudukan pada minit ke-46.

Sabtu, 15 April 2017

Liga Perdana: MPPJ di tangga teratas

SUKAN TEMPATAN


ARKIB : 08/03/2004
JUARA Piala Malaysia, MPPJ Selangor mencatat kemenangan pertama dalam aksi bola sepak Liga Perdana Kumpulan B selepas menang selesa 3-0 ke atas SKMK Kelantan di Stadium Petaling Jaya, Kelana Jaya, semalam sekali gus merampas kedudukan tangga teratas.
Bintang importnya, Juan Manuel Arostegui membuka jaringan seawal minit kesembilan sebelum Sasa Branezac dan Mohd. Nizaruddin Yusof menambah dua gol lagi pada minit ke-65 dan 67 untuk MPPJ mengumpul lima mata selepas tiga perlawanan.
Bagaimanapun, MPPJ berkongsi mata dengan Johor yang melonjak ke tangga kedua selepas menumpaskan Kelantan 1-0 di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, semalam.
Gol tunggal Johor dijaringkan oleh Nahuel Arrarte pada minit ke-21 hasil sepakan percumanya yang terus menerjah jaring menewaskan penjaga gol Kelantan, Mohd. Halim Napi.
Johor mengutip lima mata selepas tiga perlawanan.
Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, pasukan tuan rumah terus gagal mencari kemenangan sulung sebaliknya mencatat keputusan seri kali ketiga berturut-turut, kali ini seri tanpa jaringan dengan Kuala Lumpur.
Terengganu kini mengumpul tiga mata manakala Kuala Lumpur empat mata di tangga ketiga.
Di Stadium Hang Tuah, Melaka gagal mengutip mata penuh selepas diikat Negeri Sembilan 1-1 untuk tercicir di tangga keempat.
Tuan rumah membuka jaringan menerusi sepakan percuma Emil Bzafic pada minit ke-16 tetapi pemain kebangsaan, B. Rajinikandh menyamakan kedudukan juga menerusi sepakan percuma pada minit ke-61.
Dalam aksi Kumpulan A, Johor FC mengambil kesempatan mengungguli tangga teratas selepas menewaskan Tentera 4-3 dalam perlawanan menarik di Stadium TLDM, Lumut.
PKNS Selangor dan Selangor yang berkongsi enam mata di tangga pertama dan kedua sebelum ini, tidak bermain semalam.
Pasukan tuan rumah mendahului 3-2 pada babak pertama tetapi longlai pada separuh masa kedua yang menyaksikan pasukan pelawat menambah dua lagi gol.
Gol-gol Johor FC dijaringkan oleh Ahmad Norhafiza Basri pada minit ketujuh, Eddy Helmi Manan (44), Zami Mohd. Noor (79) dan Hairi Kiman (81).
Tentera pula memperoleh jaringan menerusi Nazri Akhir (8), Musadri Mat Nayan (21) dan Nor Mazlan Abdul Rahman (32).
Di Stadium Selayang, Polis mencatat kemenangan pertama dengan menumpaskan Telekom Melaka 2-0 menerusi Ahmad Sawaidin (82) dan Mohd. Izuan Baharuddin (88).
TNB Kelantan pula menang dalam perlawanan menentang pasukan senegeri, JPS Kelantan 1-0 di Stadium Sultan Mohamed IV, Kota Bharu.
Gol TNB dijaringkan oleh pemain importnya, Peter Horbats pada minit ke-34.

Khamis, 13 April 2017

Public Bank terus jadi ancaman

 
PENYERANG Viatcheslav Melnikov (atas) meraikan kejayaannya menghasilkan gol untuk Pulau Pinang bersama rakan sepasukan Mat Saiful Sabtu ketika menentang Kedah dalam saingan bola sepak Liga Super 2004 di Stadium Negeri, Batu Kawan, semalam. Pulau Pinang menang 3-2. -Gambar ISHAK RAHMAD.
PUBLIC BANK harus dilabel sebagai pasukan kelab yang digeruni dalam kempen bola sepak Liga Super apabila kali ini mengikat juara Perdana Satu musim lalu, Perak 1-1 dalam aksi di Stadium Shah Alam, semalam.
Skuad bimbingan E. Elvarasan itu menunjukkan kegagahannya seawal babak permainan menerusi jaringan Milan Strelec pada minit kelima.
Perak bagaimanapun menyamakan kedudukan menerusi ketua pasukan, Ahmad Shahrul Azhar Sofian sepuluh minit kemudian.
Dalam pada itu, Pahang menebus kehampaan tewas pada aksi pertama minggu lalu, apabila membenam Sabah 4-2 di Stadium Darul Makmur, Kuantan.
Pasukan tuan rumah mendapat gol pembukaan menerusi pemain import, Lucas Ariel apabila bola yang ditanduknya terus menerjah masuk ke gawang Sabah seawal minit kedua.
Gol kedua Pahang menyusul pada minit ke-30 hasil tandukan pemain Argentina, Fernando Horacio selepas menerima sepakan sudut yang diambil oleh Lucas.
Namun begitu, pasukan Sabah tidak berputus asa apabila Keith Gumbs berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-39 menerusi tandukannya yang gagal diselamatkan oleh penjaga gol Pahang, Azmin Azram Aziz.
Pada separuh masa kedua, pasukan tuan rumah meneruskan penguasaan mereka apabila pemain pertahanan, Rosdi Talib menyumbat masuk gol ketiga pada minit ke-59 hasil sepakan percuma yang diambilnya di luar petak penalti pasukan Sabah.
Penyerang Sabah, Josiah Seton kembali merapatkan jurang apabila menjaringkan gol kedua buat pasukannya pada minit ke-70.
Bagaimanapun, kegembiraan Sabah tidak kekal lama apabila selang seminit selepas jaringan kedua Sabah, bekas pemain Perak, Indra Putra Mahayudin menjaringkan gol keempat buat Pahang hasil rembatan deras pada minit ke-71 menewaskan Khairul Azman.
Di Stadium Negeri, Batu Kawan, Pulau Pinang turut mencatat kemenangan pertama, menewaskan Kedah 3-2.
Gol skuad Pulau Mutiara dijaringkan oleh Viatcheslav Melnikov pada minit ke-34, Boris Ovcin (39) dan Nordin Khamis (76).
Kedah mendapat dua gol menerusi Leonarde Veron (23) dan Mohd. Rafdi Rashid (90).
Di Stadium Sarawak, tuan rumah diikat 1-1 oleh Perlis dengan pasukan pelawat membuka jaringan menerusi tandukan pemain import, Philimon Chipeta pada minit ke-10.
Sarawak menyamakan kedudukan 23 minit kemudian hasil tandukan Wong Sai Kong untuk kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.

Selasa, 11 April 2017

Kejutan pertama Public Bank



ARKIB : 15/02/2004
PUBLIC Bank Selangor bangkit dua kali untuk muncul pasukan paling bergaya pada hari pertama kempen bola sepak Liga Super apabila menundukkan Kedah 4-3 di Stadium Darulaman, Alor Star semalam, terima kasih pakar sepakan percuma, Ivan Ziga.

Namun, kejayaan Public Bank tidak dicapai dengan mudah setelah Kedah dua kali mendahului, malah pada awalnya ke kelihatan berada di laluan tepat untuk mencatat kemenangan mudah.

Skuad Kenari hanya mengambil masa tidak sampai lima minit pertama untuk mendahului pelawat dengan dua gol.

Asmawi Hassan membuka tirai jaringan gol Kedah apabila menyempurnakan peluang minit ketiga, dan hanya semini t kemudian penyerang kebangsaan, Akmal Rizal Rakhli menyambar hantaran cantik Fauzi Shaari.

Namun, Mohd. Hardi Ahmad menyuntik semula semangat rakan-rakan sepasukannya apabila menghasilkan gol pada minit ke-16 sebelum pemain tengah dari Slovakia, Ivan Ziga menjadikan kedudukan kembali seimbang dengan gol penyamaan minit ke-22.

Terkejut dengan saingan mantap yang diberikan oleh Public Bank, Kedah memulakan babak kedua dengan aksi lebih garang, untuk menghasilkan gol ketiga pada minit ke-49 menerusi tandukan Leonardo Veron hasil hantaran lintang Fauzi.

Public Bank jelas tidak mudah mengaku kalah dengan sekali pun kembali ketinggalan hanya empat minit selepas permainan disambung.

Mereka perlahan-lahan mengatur kembali gerakan dan kembali mengancam kubu tuan rumah.

Keputusan mengejut sudah mula terbayang apabila penyerang terbaru Public Bank, Gustavo Fuentes dari Argentina menyepak masuk gol penyamaan 3-3 pada minit ke-71.

Ketika permainan menuju wisel penamat, kesilapan Kedah memberikan Public Bank sepakan percuma berhampiran kawasan gol pada minit ke-82 jelas membawa padah yang terlalu berharga buat mereka.

Ziga tidak mensia-siakan kepakarannya dengan rembatan kencang yang menggegar gawang Kedah sekali gus memastikan Public Bank pulang dengan tiga mata.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0215&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4dwDTcdBW
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 9 April 2017

Saingan tiga pusingan 2004 -- Liga Super, Perdana lebih kompetitif



ARKIB : 12/01/2004

BAGI menjadikan persaingan Liga Super dan Perdana lebih kompetitif, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memperkenalkan perlawanan tiga pusingan mulai tahun ini.

Perlawanan tiga pusingan itu merupakan salah satu daripada beberapa perubahan yang diputuskan oleh FAM menjelang perlawanan sulung Liga Super 14 Februari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan, Datuk Redzuan Sheikh Ahmad berkata, setiap pasukan akan melalui tiga perlawanan iaitu di tempat sendiri, di gelanggang lawan dan di tempat yang akan ditentukan menerusi undian.

``Peraturan baru ini akan menjadikan persaingan bagi kedua-dua liga lebih sengit dan mengelakkan pakatan serta perlawanan ditentukan oleh sesebuah pasukan tertentu yang mempunyai kepentingan,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas taklimat pegawai-pegawai Pasukan Liga Super dan Liga Perdana 2004 di Kuala Lumpur, semalam.

Sebanyak lapan pasukan iaitu Perak, Kedah, Perlis, Sabah, Pahang, Pulau Pinang, Sarawak dan Public Bank Selangor akan menyertai Liga Super yang diperkenalkan tahun ini dan 18 beraksi dalam Liga Perdana.

Manual FAM menyebut perlawanan Liga Super akan dijalankan secara tiga pusingan dan pasukan yang mendapat mata tertinggi akan diistiharkan sebagai johan Liga Super 2004.

Perlawanan pusingan ketiga akan diputuskan menerusi undian untuk menentukan pasukan tuan rumah dan kutipan tiket bagi perlawanan tersebut akan dibahagikan sama rata dengan pasukan pelawat setelah ditolak levi dan duti hiburan.

Selain daripada itu Redzuan berkata, FAM juga memperkenalkan peraturan baru iaitu jaringan perak bagi menggantikan jaringan emas yang dilaksanakan dalam pertandingan kalah mati.

Menurut peraturan itu, sekiranya setelah tamat perlawanan 90 minit pemenang masih tidak dapat ditentukan, perlawanan tambahan selama 15 minit akan dilangsungkan.

Walaupun ada pasukan yang dapat menjaringkan gol di awal perlawanan tambahan itu, ia akan terus dilangsungkan sehingga tamat tempoh 15 minit itu.

Tetapi sekiranya keputusan masih seri iaitu sama ada kedua-dua pasukan gagal menjaringkan gol atau sama-sama berjaya mendapat gol, perlawanan tambahan separuh masa kedua akan berlangsung selama 15 minit lagi.

Sekiranya kedua-dua pasukan masih terikat dengan keputusan seri barulah penentuan pemenang dibuat menerusi sepakan penalti.

FAM juga memutuskan bahawa perlawanan yang ditunda atau dihentikan akan dilangsungkan pada keesokkan harinya di tempat yang sama dan pada masa yang ditetapkan oleh pasukan tuan rumah.

Sekiranya berlaku, pasukan tuan rumah dikehendaki menanggung perbelanjaan makan, penginapan dan kenderaan tempatan bagi tidak lebih daripada 25 anggota pasukan pelawat untuk perlawanan pada keesokan harinya.

``Kami juga akan menulis di dalam tiket perlawanan bahawa penonton tidak boleh membuat tuntutan wang sekiranya perlawanan terpaksa dihentikan dan diadakan pada hari berikutnya,'' ujar Redzuan.

Perkara-perkara lain yang diputuskan termasuklah membenarkan penyenaraian empat pemain import bagi setiap pasukan tetapi hanya tiga saja yang boleh diturunkan bagi satu-satu perlawanan.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0112&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4djsgcdNr
© Utusan Melayu (M) Bhd