MyMetroArena
Asrol Awang
sukanteam@nstp.com.my
POLIS Diraja Malaysia (PDRM) yang tewas 1-2 kepada Pahang semalam masih percaya peluang skuad itu untuk kekal dalam saingan Liga Super musim depan masih cerah.
Justeru, barisan pemain The Cops perlu kekal fokus pada baki empat perlawanan untuk mengutip mata biarpun akan berdepan cabaran getir.
Ini kerana PDRM akan bertemu Perak pada 20 September ini, diikuti Terengganu FC (25 September), Selangor (3 Oktober) dan PJ City FC (10 Oktober).
Bagi pengendali The Cops, Mohamad Ishak Kunju Mohamad, peluang skuad kendaliannya kekal dalam Liga Super masih terbuka biarpun ia dilihat sukar.
"Saya percaya peluang PDRM untuk kekal dalam Liga Super masih ada kerana berbaki empat perlawanan dengan 12 mata.
"Jika saya tidak yakin, baik saya cakap peluang PDRM untuk beraksi di Liga Super sudah berakhir."Oleh itu, saya harap pemain dapat mempamerkan prestasi lebih baik untuk meraih sebanyak mata pada baki empat perlawanan," katanya.
Mengulas kekalahan tipis 1-2 kepada tuan rumah, beliau kecewa kerana pemainnya tidak bermain seperti yang dirancang ketika pasukan mengharapkan kutipan mata.
"Mereka tidak memberi tentangan seperti yang dipersembahkan ketika kami seri 1-1 ketika berdepan Felda United FC. Pemain seolah tidak bersedia dan akhirnya kita tewas," katanya.
Dengan lima kekalahan dan dua seri daripada tujuh perlawanan, PDRM kekal berada di tangga tercorot liga dan kemungkinan tersingkir ke Liga Perdana musim depan.SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 September 2020 @ 2:59 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan