MyMetroArena
Rizar Mohd Noor
rizar@mediaprima.com.my
Johor Bahru: Pertembungan Johor Darul Ta'zim (JDT) yang melayani kunjungan Selangor pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim Iskandar Puteri, malam esok dianggap pertemuan buku dengan ruas tatkala kedua-dua pasukan memiliki reputasi tinggi dalam saingan liga musim ini.JDT mengecapi kejayaan muncul juara liga enam musim berturut-turut, manakala Selangor tampak gah dengan status pasukan legenda dalam kancah bola sepak negara dan pastinya pertembungan dua pasukan itu dianggap 'epik'.
Ditambah pula skuad Harimau Selatan memerlukan kemenangan untuk berada dalam keadaan selesa bagi menghampiri kejuaraan liga ketujuh pada musim ini, Selangor pastinya mahu menebus kehampaan prestasi tidak menentu yang dialami sejak saingan bersambung 28 Ogos lalu akibat pandemik Covid-19.
Namun di sebalik memburu kemenangan ke atas skuad The Red Giants, pengendali JDT tampak enggan terlalu tertekan dan menyifatkan berharap tuah menyebelahi skuad bimbingannya untuk meneruskan pemburuan kejuaraan liga.
"Kita harap dapat terus mencapai kemenangan dengan Selangor di laman sendiri yang pasti tampak sengit dan sedikit tuah untuk mencapai matlamat mempertahankan kejuaraan liga dengan lebih cepat.
"Kami tidak boleh terlalu selesa dan perlu memikirkan untuk capai kemenangan dalam setiap perlawanan. Malah harus berwaspada bagi mengelak berlaku kejutan yang sememangnya mahu dielakkan," kata Mora.
Yang pasti, pengendali kelahiran Mexico bakal menurunkan kesebelasan terbaik untuk berdepan anak didik B Sathianathan dan kelibat rangkaian serangan Gonzalo Cabrera, Safawi Rasid dan Diogo Luis Santo akan mengemudi jentera serangan.
Tanpa kelibat Matthew Davies yang masih dalam proses pemulihan, posisi bek kanan bakal menyaksikan S Kunanlan akan beraksi di posisi itu bersama Mauricio Dos Santos, Aidil Zafuan Abd Radzak yang menggalas tugas selaku kapten dan Corbin Ong bagi membentuk keampuhan benteng skuad Harimau Selatan.
Apa pun barisan pemain JDT perlu lebih konsisten dengan memperaga aksi terbaik untuk memastikan kemenangan memihak pasukan itu bagi membuka jalan lebih selesa memburu kejuaraan liga buat kali ketujuh berturut-turut.
SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2020 @ 2:55 PM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan