Selasa, 15 September 2020

Aksi Kedah bertemu Sabah tunda

MyMetroArena



Syazwan Msar

mohdsyazwan@hmetro.com.my

PERLAWANAN Kedah menentang Sabah yang sepatutnya berlangsung Sabtu ini akan ditunda pada 21 September atas faktor keselamatan berikutan peningkatan kes Covid-19 di dua negeri berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL) Datuk Ab Ghani Hassan berkata, penundaan perlawanan terbabit dilakukan selepas mengadakan perbincangan bersama kedua-dua pihak sebelum bersetuju menetapkan Isnin depan bagi meneruskan perlawanan itu.

Beliau berkata, Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras akan menggantikan Stadium Darul Aman dengan Kedah menjadi tuan rumah kepada perlawanan itu.

"Perlawanan terbabit akan berlangsung pada waktu yang sama iaitu jam 9 malam dan penundaan perlawanan mendapat persetujuan kedua-dua pihak.

"Ketika ini, kita harus memikirkan keselamatan kedua-dua pihak selain mungkin ada masalah lain jika meneruskan perlawanan di Kedah," katanya.

Sebelum itu, Kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di beberapa kawasan di Kedah.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD membabitkan seramai 366,787 penduduk secara keseluruhan.

Beliau berkata, perkara itu diputuskan pada mesyuarat khas sebelum ini selepas mengambil kira peningkatan kes positif Covid-19 kluster Sungai dan Tawar di daerah berkenaan.

Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berkata, Prosedur Operasi Standard (SOP) di daerah berkenaan adalah sama seperti mana SOP PKPD Pentadbiran yang lain, termasuk larangan keluar dan masuk di kawasan berkenaan, di mana pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan melaksanakan sekatan jalan raya.

SUMBER-Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2020 @ 5:54 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan