Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
STATUS pasukan mana menjadi pilihan Nwakaeme (tengah) setakat ini masih misteri setelah Selangor mengesahkan bahawa pemain berasal dari Nigeria itu bukan dalam radar skuad Gergasi Merah.
SELANGOR dijangka mempertaruhkan khidmat penyerang import dari Afrika tetapi bukan bintang sensasi Pahang, Dickson Nwakaeme yang dikaitkan bakal beraksi di Shah Alam dalam saingan Liga Malaysia musim depan.
Sebelum ini, Nwakaeme dilaporkan hampir pasti mengikuti jejak bekas jurulatihnya, Zainal Abidin Hassan yang dikhabarkan menggantikan Mehmet Durakovic sebagai pengendali baharu skuad Gergasi Merah pada tahun depan.
Begitupun, menurut sumber rapat Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), juara 33 kali Piala Malaysia itu semakin menghampiri untuk menandatangani seorang lagi penyerang selepas berjaya mengikat bintang Selangor PKNS, Patrick Ronaldinho setahun dalam misi memperkuatkan skuad itu yang juga akan beraksi dalam kempen Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Ujar sumber tersebut, Selangor tidak lagi mengejar khidmat bekas pemain Pahang dan Kelantan tersebut, sebaliknya Zainal telah mengenal pasti seorang pemain dari Afrika untuk dibawa masuk ke dalam skuad kendaliannya pada musim depan.
“Selangor telah berjaya mendapatkan khidmat Ronaldinho dan seorang lagi penyerang dari Afrika (bukan Nwakaeme). Pemain itu sendiri dipilih oleh Zainal yang dianggap memiliki kualiti tersendiri.
“Identiti pemain Afrika itu masih dirahsiakan dan akan diperkenalkan kepada umum pada Januari depan. Status Nwakaeme masih meragukan dan saya fikir Zainal memiliki perancangan tersendiri untuk memperkuatkan pasukan bimbingannya.
“Nwakaeme ke Selangor? Saya tidak tahu tetapi apa sahaja boleh berlaku di dalam bola sepak tetapi difahamkan, FAS akan bergantung kepada keputusan Zainal. Namun buat masa ini, tiada status Nwakaeme dengan Selangor,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Dalam perkembangan sama, sumber itu turut menepis dakwaan kononnya bekas jurulatih, Durakovic telah menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk menyelamatkan kariernya selepas membantu skuad Gergasi Merah memenangi Piala Malaysia 2015 dengan menumbangkan Kedah 2-0 dalam aksi final di Stadium Shah Alam, 12 Disember lalu.
“Laporan itu tidak benar. FAS secara profesional mencapai kata sepakat bersama Mehmet (Durakovic) untuk menamatkan kontrak bersama dan pampasan perjanjian telah pun dibayar kepadanya.
“Harus diingatkan, keputusan FAS ini (melantik Zainal sebagai jurulatih baharu Selangor) telah dibuat sebelum mula kempen Piala Malaysia 2015. Jadi, kedua-dua pihak mencapai kata sepakat dan mengamalkan semangat profesional,” katanya.
Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=1231&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz3vt3HEAvL Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan