Oleh Firdaus Hashim-firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: "Saya menafikan menerima gaji sebanyak RM3 juta", kata pemain import Selangor Andik Vermansyah, hari ini.
Belum pun sampai 24 jam mengesahkan kekal bersama skuad juara Piala Malaysia itu menerusi perjanjian kontrak baru selama dua tahun pemain kelahiran Jember, Indonesia itu dikaitkan dengan cerita terbaru - ‘menerima gaji sebanyak RM3 juta’.
Bagaimanapun, Andik tampil menafikan khabar angin itu.
Dia menegaskan nilai sebenar dirinya lebih rendah daripada apa didakwa oleh pihak tidak bertanggungjawab itu.
Pemain lincah itu kecewa dan hairan kerana isu itu tiba-tiba timbul sehari selepas dia mengesahkan masa depannya bersama Selangor.
"Saya tidak tahu mengapa isu dibangkitkan malah mengatakan saya menerima gaji paling tinggi dalam pasukan untuk musim depan,” katanya kepada Arena Metro.
"Sejujurnya, saya tidak pernah meletakkan harga hingga RM3 juta dan kalau mahu tahu gaji dan elaun saya tidak sampai ratus ribu.
"Saya nafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu kerana ia secara tidak langsung tidak baik buat imej saya selain boleh mendapatkan rasa cemburu kepada rakan sepasukan.
"Bukan itu sahaja, malah keluarga saya di Indonesia juga ketika ini di dalam ketakutan kerana isu itu yang boleh mengundang kepada perkara negatif".
Andik, 24, menyertai Red Giants sejak dua musim lalu menandatangani kontrak baru sebelum final Piala Malaysia Sabtu lalu sekali gus menamatkan spekulasi akan meninggalkan pasukan itu.
"Saya bukan bintang atau pemain meletak harga tinggi. Saya pemain biasa dan saya sayang pasukan ini.
"Saya amat gembira dan selesa berada di sini (Selangor) dan mahu membantu pasukan untuk mencapai lebih banyak kejayaan selepas ini.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2015 @ 9:56 PM
Andik mahu bantu Selangor capai lebih banyak kejayaan. Foto fail NSTP
- SUMBER: http://www.hmetro.com.my/node/100572#sthash.nelkRcET.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan