Rabu, 30 Disember 2015

Afiq cuba nasib bersama Negeri Sembilan

KHAMIS, 31 DISEMBER 2015 @ 9:04 AM
Afiq cuba nasib bersama Negeri Sembilan
Oleh Mohd Amin Jalil bhsukan@bh.com.my BEKAS penyerang Selangor, Mohd Afiq Azmi. - Foto ihsan Persatuan Bolasepak Selangor SEREMBAN: Bekas penyerang Selangor, Mohd Afiq Azmi, bakal mempertajamkan jentera serangan Negeri Sembilan bagi mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga-M) musim depan, yang dijadual bermula Februari depan. Pemain berasal dari Perlis berusia 26 tahun itu sah milik skuad Hobin Jang Hobin selepas dua musim bersama skuad Gergasi Merah Kuning. Sumber pasukan berkata, Afiq disahkan bersama Negeri Sembilan dan dijangka bakal bergandingan dengan penyerang dari Australia, Joel Chianese, yang sebelum ini pernah beraksi dengan pasukan Sabah.

"Kehadiran Afiq dijangka mampu memantapkan lagi jentera serangan pasukan ini kerana pemain terbabit dilihat begitu berpengalaman bukan saja dalam liga tempatan malah pernah beraksi bersama skuad Harimau Malaya. "Kita yakin Afiq dapat memberikan sumbangan terbaik kepada pasukan yang kini dibimbing jurulatih baharu, Gary Michael Phillips, berasal dari Australia dan pernah membimbing skuad Sabah sebelum ini.

"Pengalaman pemain terbabit ketika membantu Selangor muncul juara Piala Malaysia tahun ini sudah tentu ditagih bagi memastikan Negeri Sembilan melakar kejayaan lebih baik musim depan," katanya semalam. Musim 2015, Negeri Sembilan yang beraksi dalam Liga Perdana mempertaruhkan Francis Forkey Doe bagi menerajui jentera serangan, namun skuad itu yang dibimbing K Devan gagal melakar sebarang kejayaan apabila sekadar berada di tempat keenam carta liga. Dalam pada itu, sumber itu berkata, turut mengikuti jejak Afiq ialah dua rakan sepasukan Shazlan Alias dan Muhd Syamim Othman, yang bersama Negeri Sembilan musim depan.

Menurutnya, Shazlan dan Syamim adalah tonggak pertahanan berpengalaman dan yakin kehadiran mereka mampu menguatkan lagi bahagian benteng pasukan berkenaan yang dibarisi ramai pemain baharu. Katanya, selain itu, bekas pemain FELDA United FC, Mohd Nasriq Baharom turut menjadi antara sandaran baharu dalam skuad Negeri Sembilan. "Negeri Sembilan yang dibarisi ramai pemain muda hampir melengkapkan senarai pemain bagi menghadapi saingan musim depan," katanya. Berpandukan senarai terkini pasukan itu, empat pemain yang melengkapkan kuota import skuad Negeri Sembilan ialah tiga pemain dari Australia iaitu Taylor Regan (pertahanan), Andrew Nabbout (tengah) dan Joel (penyerang) manakala seorang lagi ialah Alex Smith dari England beraksi di posisi tengah.


SUMBER: http://www.bharian.com.my/node/109782

Tiada ulasan:

Catat Ulasan