Jumaat, 22 Julai 2016

P. Pinang cuba pikat Mohd. Jaya

 ARKIB : 02/01/1998
KONTROVERSI antara Persatuan Bola Sepak Sabah (Sabah FA) dengan Majlis Sukan Negeri Sabah (MSNS) kembali mencerahkan peluang beberapa buah pasukan termasuk Pulau Pinang yang ghairah memancing pemain skuad Negeri Di Bawah Bayu untuk membawa cabaran musim ini, lapor ZAINU'L AZHAR ASH'ARI.

Antara pemain Sabah yang menjadi idaman Pulau Pinang ialah Mohd. Jaya Kassim yang begitu diperlukan untuk memantapkan barisan serangan skuad Harimau Kumbang.

Kemelut terkini yang melanda Sabah itu mendorong keinginan beberapa pemain skuad bola sepak negeri tersebut untuk mula mencari pasukan lain.

Sabah FA kini menghadapi tindakan drastik apabila MSNS menggugurkan keahliannya sehingga membawa kepada penarikan beberapa kemudahan tertentu termasuk penggunaan Stadium Likas yang menjadi milik majlis berkenaan.

Apatah lagi selepas MSNS melarang Sabah FA menggunakan status wakil rasmi negeri tersebut dalam Liga Malaysia, sudah cukup menggerunkan pemain.

Dalam kedudukan Sabah FA yang terumbang-ambing, pemain yang tidak mahu menanggung risiko sudah mula beralih minat untuk menyarung jersi pasukan lain.

Pastinya, tumpuan mereka ke Pulau Mutiara yang menyatakan keinginan untuk mendapatkan khidmat pemain Negeri Di Bawah Bayu.

Selain Mohd. Jaya, skuad Harimau Kumbang berminat dengan beberapa lagi pemain Sabah tetapi terpaksa menghadkan pengambilan dari Negeri Di Bawah Bayu berikutan krisis ekonomi yang melanda negara ini.

Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) mula memancing Mohd. Jaya sejak skuad Harimau Kumbang tersingkir daripada saingan Piala Malaysia lagi.

Kehadiran Mohd. Jaya dijangka memenuhi kehendak FAP bagi memperkuatkan jentera serangan pasukan itu, apatah lagi setelah penyerang Merzagua Abderrazak sudah menyatakan keinginannya untuk kembali.

Sementara, dua pemain yang digugurkan oleh Selangor, Abdul Talib Sulaiman dan Shahrin Majid turut menarik minat Pulau Pinang untuk disenaraikan dalam skuad Harimau Kumbang musim depan.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0102&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4FD3n18fH © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan