ARKIB : 16/01/1998
PEMAIN tengah Perak, Ahmad
Shahrul Azhar masih bermain teka-teki sama ada ingin terus menyarung jersi
skuad Seladang atau beraksi dengan pasukan lain dalam Liga Perdana musim akan
datang.
KAMARUDDIN ISMAIL melaporkan,
kontrak Shahrul telah berakhir pada Disember lalu, tetapi beliau masih belum
menandatangani kontrak baru dengan skuad Seladang itu.
Pengurus pasukan, Datuk Raja
Ahmad Zainuddin Raja Omar meminta pemain tengah itu datang dengan segera untuk
menandatangani kontrak baru.
Raja Ahmad tidak tahu mengapa
Shahrul masih belum muncul untuk mengesahkan kedudukannya sebagai pemain Perak
musim akan datang.
Sukan Utusan difahamkan Shahrul
cuba meminta kenaikan gaji yang lebih tinggi daripada pihak pengurusan Perak
menyebabkan pemain tengah itu masih belum menurunkan tandatangannya.
Shahrul juga dikatakan menerima
tawaran yang lebih baik daripada beberapa pasukan termasuk Kuala Lumpur dan
sekali gus pemain tersebut terpaksa membuat pertimbangan yang mendalam.
''Saya berharap Shahrul tidak
mungkir janji kerana beliau sudah berjanji akan terus kekal di sini,'' kata
Raja Ahmad.
Sebelum ini, perpindahan Chee
Wan Hoe ke Pulau Pinang dan Syamsol Saad ke Terengganu dikaitkan dengan rasa
tidak puas hati kedua-dua pemain itu terhadap jumlah gaji yang mereka terima.
Raja Ahmad berkata, Wan Hoe
tidak bersedia gajinya dikurangkan walaupun pemain pertahanan itu lebih banyak
memanaskan bangku simpanan sahaja.
Wan Hoe menerima gaji hampir
RM9,000 itu merupakan pemain tempatan yang paling mahal musim lalu.
Namun begitu, gajinya
dikurangkan hampir 50 peratus tahun ini menyebabkan beliau mengambil keputusan
berpindah ke Pulau Pinang.
'' Gaji pemain-pemain Perak
tahun ini adalah berdasarkan prestasi yang ditunjukkan oleh mereka sepanjang
musim lalu,'' ujarnya.
'' Saya tidak boleh meletakkan
bayaran gaji yang terlalu tinggi ke atas pemain-pemain yang hanya memberi
sedikit sumbangan musim lalu,'' kata Raja Ahmad.
Syamsol juga tidak berpuas hati
dengan tawaran gaji barunya menyebabkan pertahanan itu beralih angin ke pantai
timur yang menawarkan gaji lumayan.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0116&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4FQ2CBsME
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan