Sabtu, 23 Julai 2016

Perak kesal Syamsol mungkir janji

ARKIB : 11/01/1998

SYAMSOL SAAD.

PERAK terkilan apabila pemain pertahanannya, Syamsol Saad mungkir janji dengan berpindah ke Terengganu bagi Liga Perdana musim akan datang, lapor KAMARUDDIN ISMAIL.

Pengurus Pasukan, Datuk Raja Ahmad Raja Omar kesal dengan tindakan Syamsol itu kerana pemain tersebut sudah berjanji mewakili Perak dalam dua pertemuan lalu.

Katanya, pertahanan itu sudah menyatakan untuk kekal dengan skuad Seladang secara lisan dalam kedua-dua pertemuan tersebut tetapi kini berubah kata pula.

Raja Ahmad berkata, keputusan pemain pertahanan itu mungkin menjejaskan perancangannya di barisan pertahanan musim akan datang yang terpaksa mencari seorang pemain gantian.

Namun begitu katanya, skuad Seladang masih mempunyai lima pemain seperti Khairul Anuar Baharom, Janos Krescka, Roslan Hamid, Chee Wan Hoe dan Chan Kok Heng bagi memperkuatkan benteng pertahanannya.

''Syamsol memberi alasan sering berada di bangku simpanan sahaja musim lalu menyebabkan beliau ingin berpindah ke negeri lain musim depan,'' kata Raja Ahmad di Ipoh semalam.

Pengurus pasukan itu tidak boleh mengarahkan jurulatih, Karl Weigang supaya menurunkan Syamsol pada tiap-tiap perlawanan kerana jurulatih tersebut mempunyai perancangan tersendiri.

''Jika Syamsol merasakan tidak mendapat tempat dalam skuad Perak musim lalu, beliau bolehlah mencari pasukan yang sesuai,'' ujarnya.

Pemain pertahanan itu mula beraksi dengan Perak dalam Liga Simpanan pada tahun 1991 dan dua tahun kemudian beliau diserapkan dalam skuad Liga Perdana negeri ini.

Kontrak Syamsol dengan skuad Perak sudah tamat pada 31 Disember lalu tetapi boleh dipanjangkan setahun lagi jika skuad Seladang mahukannya.

Seorang lagi pemain pertahanan, Ghani Malik turut meminta kebenaran berpindah ke Kuala Lumpur tetapi Perak tidak melepaskannya.

Raja Ahmad berkata, tenaga Ghani masih diperlukan di sini selepas sembuh daripada kecederaan yang dialaminya sepanjang musim lalu.

Sementara itu, Pengurus Pasukan tersebut juga sedang berusaha membawa penyerang Sabah, Mohd. Jaya Kassim ke sini tahun depan.

''Saya berharap dapat membawa Mohd. Jaya untuk digandingkan dengan Laszlo Repasi yang sekaligus memantapkan lagi barisan serangan Perak,'' ujarnya.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0111&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4FEJKuxL0 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan