Isnin, 25 Julai 2016

Peristiwa '97 tidak berulang

ARKIB : 21/01/1998
SELEPAS mengharungi kemalapan musim lalu, penyerang muda Selangor, Rusdi Suparman mahu tahun 1998 bakal memihak kepadanya untuk kembali mendapat tempat utama bergandingan dengan Azman Adnan di bahagian serangan, lapor AMRAN MULUP.

Ketiadaan Christopher Kiwomya yang muncul hero menjaringkan gol kemenangan Selangor menewaskan Pahang 1-0 dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 20 Disember lalu, kembali membuka ruang kepada Rusdi untuk mendapat kepercayaan bergandingan dengan Azman.

''Musim lalu tidak ada ruang untuk saya beraksi dalam kesebelasan utama. Saya akui gandingan Azman-Kiwomya cukup mantap tetapi dengan ketiadaannya musim ini memberikan peluang kepada saya untuk mengisi kekosongan itu,'' ujar Rusdi.

Musim lalu bekas penyerang skuad Olimpik di bawah jurulatih Claude Le Roy pada 1995 itu lebih banyak memanaskan tempat dibangku simpanan dan hanya diturunkan sebagai super-sub.

Persembahan cemerlang menerusi gandingan Azman-Kiwomya ketika itu berada pada kombinasi terbaik musim lalu, sekali gus menyukarkan jurulatih Steve Wicks memberikan peluang kepadanya berada dalam kesebelasan utama.

''Yang penting, saya perlu buktikan kewibawaan sebenar diri saya untuk mengisi kekosongan itu. Memang sudah lama saya idamkan aksi bergandingan dengan Azman.

''Jika diberi peluang saya mampu menyempurnakan tugas yang diamanatkan,'' jelas Rusdi lagi.

Beliau menyifatkan peluangnya kali ini tampak lebih cerah selain tanpa Kiwomya, ketiadaan pemain lincah Shahrin Majid yang tidak ditawarkan kontrak selain Annuar Abu Bakar memilih untuk memutuskan ikatan kontrak musim ini.

Kini dia hanya akan bersaing penjaring terbanyak skuad Piala Presiden, Hairil Zamri Rashid bagi menentukan gandingan dengan Azman di bahagian serangan.

''Saya tidak boleh ambil mudah walaupun kurang saingan kali ini kerana ini adalah kesempatan terbaik yang perlu saya ambil,'' katanya.

Hanya pada kempen musim 1996 mencetuskan saat paling gemilang kepada Rusdi yang seringkali mendapat tempat dalam kesebelasan utama.

Malah Rusdi tidak sabar menanti latihan pra-musim yang akan bermula 7 Februari ini.

Ketika ditanya mengenai pihak pengurusan baru mengambil alih teraju musim ini, Rusdi menyifatkan keutuhan Selangor tetap kental untuk mengekalkan gelaran yang disandang.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0121&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4FQUDMm00 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan