Sabtu, 23 Julai 2016

Wajah murung jadi tandatanya -- Azman benar-benar hampakan NS

ARKIB : 09/01/1998
 
AZMAN ADNAN... Tindakannya menyertai semula Selangor mencetuskan tanda tanya selepas dia dikatakan telah berunding dengan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) untuk menyertai pasukan itu musim depan.

TINDAKAN penyerang kebangsaan, Azman Adnan menandatangani kontrak bersama Selangor kelmarin masih belum meredakan kontroversi yang timbul mengenai pemain berkenaan.

Malah pengumuman pengurus pasukan Selangor yang baru, Datuk Mokhtar Ahmad bahawa segala spekulasi mengenai isu perpindahan Azman telah tamat belum mampu menjawab banyak persoalan yang timbul.

Antaranya, wajah murung Azman ketika menandatangani kontrak bersama Selangor mengundang pelbagai andaian mengenai apa yang sebenarnya berlaku di sebalik majlis yang berlangsung kelmarin.

Setiausaha Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) Abdullah Sani Abdul Hamid yang ternyata amat kecewa dengan tindakan Azman itu mempersoalkan tindakan pemain itu yang tidak memaklumkan langsung kepada beliau mengenai keputusan pemain itu.

Akibat daripada tindakan Azman itu, para pegawai PBNS termasuk presidennya, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad telah dibiarkan menunggu kemunculan Azman selama tiga jam kelmarin bagi majlis menandatangani kontrak dengan pemain itu.

Malah bapa pemain itu juga telah menghubungi Abdullah Sani pada pagi kelmarin dan menyatakan bahawa dia tidak dapat menghubungi Azman sejak malam Selasa lalu.

Menurut Abdullah Sani, sebelum ini beliau telah mengingatkan Azman agar tidak mengulangi 'sejarah silam' yang dilakukan oleh rakan sepasukannya di Selangor, Zainal Abidin Hassan kepada Negeri Sembilan tahun lalu.

''Berikutan itu, Azman telah berjanji apa yang telah dilakukan oleh Zainal tidak akan berulang,'' katanya kepada Sukan Utusan ketika ditemui di pejabatnya semalam.

Menurutnya, beliau juga telah dimaklumkan bahawa penduduk di sekitar Pedas - kampung asal keluarga Azman - berasa amat gembira apabila mendengar berita Azman akan pulang ke Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, apa yang diharapkan tidak berlaku walaupun Azman telah meminta PBNS mencari sebuah rumah untuknya di Seremban dan mahu berpindah dalam masa seminggu.

Katanya, beliau menganggap Azman ikhlas apabila menyatakan hasrat untuk menyarung jersi Negeri Sembilan pada musim ini, malah Azman juga dikatakan telah menghubungi rakan-rakannya di negeri ini dan menyatakan hasrat yang sama.

Jelasnya, beliau tidak kecewa jika Azman sebenarnya mahu memilih Selangor sebagai pasukan untuk beraksi musim ini.

''Tetapi mengapakan majlis menandatangani kontrak dengan Selangor diadakan secara tergesa-gesa jika benar Azman telah bersetuju untuk terus bersama Selangor.

''Wajah muram Azman ketika majlis itu juga tidak menggambarkan kegembiraan yang sepatutnya berlaku semasa majlis seperti itu diadakan,'' ujarnya.

Bagi mengatasi masalah pemain mungkir janji, Abdullah Sani mencadangkan kemungkinan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyiasat perkara itu bagi mengelakkan ia berulang.

Katanya, langkah tersebut penting bagi mengelak mana-mana pemain daripada mudah memberikan janji tetapi mungkir pada saat-saat akhir.

Dalam perkembangan yang berkaitan, Abdullah Sani juga menggesa Mokhtar berhenti mengeluarkan kenyataan yang bersifat sombong sehingga boleh menjejaskan hubungan baik dengan persatuan bola sepak yang lain.

Sebagai profesional, katanya, Mokhtar tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang boleh menyinggung pihak-pihak lain.

Namun demikian, Abdullah Sani sempat mengucapkan tahniah kepada Mokhtar dan berharap pasukan Selangor mampu mengulangi kejayaan musim lalu.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0109&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4FDwxkcHS © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan