Sabtu, 23 Julai 2016

Terengganu lebih pentingkan kualiti -- Kedudukan pemain lama belum selamat

ARKIB : 07/01/1998
SELAIN dua pemain import, Jean Nyima dan Seidu Issifu, kedudukan 10 pemain musim lalu yang berada dalam senarai musim ini masih belum selamat jika mereka tidak mempunyai kualiti yang dikehendaki oleh jurulatih Abdul Rahman Ibrahim.

WAN ABD. RAHMAN HAYAT melaporkan, bekas jurulatih Perlis itu memulakan latihan semalam dengan amaran mereka yang tidak menunjukkan persembahan terbaik akan digugurkan.

Walapun latihan semalam merupakan sesi suai kenal tetapi ia jelas merupakan cabaran bagi pemain-pemain yang ingin menyarung jersi hitam putih musim ini.

Antara pemain-pemain musim lalu yang berada dalam senarai terdiri dari Tay Sin Kiat, Azlan Ismail, Azman Ismail, Wan Ahmad Ridzuan Husain, Badrul Afzan Razali, Rosdi Talib, Tee Choon Chai, Affandi Abdul Rahman, Fauzi Abdul Rahman dan Zulharisan Awang.

Turut menjalani latihan ialah bekas pemain kebangsaan dan Perlis, Anuar Jusoh dan Badrul Hisham Abdullah serta beberapa pemain baru yang mencuba nasib bersama Terengganu.

Menurutnya, sesi latihan petang semalam merupakan permulaan untuk latijan penyesuaian pemain serta menilai kemampuan pemain baru dan sedia ada.

Katanya, kecuali Anuar dan Badrul semua pemain akan dinilai kemampuan mereka sama ada berada pada tahap yang dikehendaki atau sebaliknya.

Kehadiran beberapa pemain dari beberapa negeri lain dalam latihan itu juga seolah-olah mencabar kedudukan mereka jika tidak menunjukkan permainan yang baik.

''Pada era profesional setiap pemain harus bersedia untuk digugurkan jika gagal menunjukkan persembahan terbaik dan tempatnya akan diganti oleh pemain lain... sekarang ini bukan lagi zaman kasihan belas,'' ujarnya.

Tambahnya, beliau akan memastikan hanya pemain yang benar-benar berkemampuan sahaja berada dalam pasukan musim ini supaya pasukan boleh bersaing dengan pasukan lain.

Katanya, setakat ini dia masih belum lagi dapat menilai kemampuan setiap pemain dan belum dapat menentukan kedudukan mereka dalam pasukan Terengganu.

Menyedari hakikat bahawa pencabar lain dalam permainan play off Mac ini semakin hebat, Abdul Rahman akan berusaha keras untuk memastikan pasukannya benar-benar mantap musim ini.

Jelasnya, Johor kini mempunyai lima pemain kebangsaan, Pulau Pinang juga tidak kurang hebatnya dengan kembalinya Merzergua Abderrazak, jadi Terengganu juga harus membentuk pasukan kuat untuk menyaingi mereka.

''Bersama Terengganu musim ini merupakan cabaran getir buat saya kerana terpaksa membawa pasukan ini dari bawah, saya harap dengan kerjasama semua pihak kita akan berjaya,'' tambahnya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0107&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4FDl3rnGt © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan