ARKIB : 06/04/1998
NEGERI SEMBILAN menganggap
kekalahan pasukan itu kepada Pulau Pinang kelmarin disebabkan kecuaian barisan
pertahanan sehingga menyebabkan skuad Rusa begitu mudah melepaskan tiga gol
tanpa balas.
Pengurus pasukannya, Jamaludin
Ahmad yang dihubungi semalam meluahkan rasa kecewanya terhadap persembahan
kurang mantap beberapa pemain yang menghiasi skuad itu.
''Memanglah kalah dan menang
adat permainan, tetapi kekalahan kepada Pulau Pinang sukar diterima kerana
disebabkan kecuaian beberapa pemain sendiri,'' ujarnya.
Gol kemenangan Pulau Pinang
dijaringkan pada separuh masa kedua oleh penyerang import, Merzagua Abdderrazak
pada minit ke-55 dan 71, manakala satu gol lagi melalui Domi Che Non.
Menurut Jamaludin, dia pernah
melihat aksi cemerlang beberapa pemain ketika perlawanan persahabatan tetapi
menunjukkan permainan yang buruk menentang Pulau Pinang, malam semalam.
Namun begitu, katanya, masih
terlalu awal untuk meramalkan nasib skuad itu, tetapi beliau yakin jurulatih berpengalaman,
M. Karathu pasti akan melakukan perubahan ke atas posisi pemain bagi menghadapi
cabaran Kuala Lumpur di gelanggang lawan pada Sabtu ini.
Jamaludin berkata, beliau
hairan kenapa beberapa pemain gagal mengekalkan rentak permainan cemerlang pada
separuh masa kedua sehingga memberi peluang kepada penyerang Pulau Pinang
begitu mudah untuk menjaringkan gol.
''Saya yakin jika pemain itu
dapat beraksi dengan baik dan tidak gopoh sudah tentu Merzagua dan Domi tidak
semudah itu mampu menjaringkan gol,'' tegasnya.
Beliau menganggap Negeri
Sembilan tidak bernasib baik kerana percubaan terbaik oleh Scott Ollerenshaw
pada minit ke-24 pada separuh masa pertama terkena palang gawang.
Begitupun, beliau tetap
berpuashati dengan persembahan beberapa pemain lain yang menunjukkan
kesungguhan dan sanggup berhempas pulas meneruskan persaingan hingga wisel penamat
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0406&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4FroWOQ1Z
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan