ARKIB : 03/02/1998
PEMAIN dari Argentina, Mario
Gomez dan Luis Puzutto mengubat hati pengurus Kelantan, Suhaidi Yusof setelah
kedua-duanya menyertai latihan dalam skuad Kijang, kelmarin, MOHD. NOOR ISMAIL
melaporkan.
Kedua-duanya masih mendapat
kepercayaan dari Persatuan Bola Sepak Kelantan untuk menghadapi Liga Perdana
1998 bagi tempuh setahun ini.
Mario selaku perancang di
barisan tengah manakala Luis berpasangan dengan Hashim Mustapha di barisan
hadapan akan diuji dalam perlawanan menentang skuad pilihan Afrika di Stadium
Sultan Muhamad Keempat Kota Bharu, malam ini.
Suhaidi sukar meramalkan
kelibat barisan hadapan Kelantan yang baru dipadukan antara Hashim, Luiz
Puzutto dan Wan Rohaimi Wan Ismail memandangkan ketiga-tiga diketemukan
kelmarin.
Hashim, bekas penyerang Kedah
yang baru kembali ke lubuk asalnya perlu membuktikan kemampuannya beraksi
bersama pemain-pemain muda Kelantan yang lain termasuk Robik Ismail, Badrisham
Kadir, Alif Rohaimi Azizhan, Tuan Rosli Shaari dan Sarudy Aziz.
Bagi Mario Gomez tugasnya lebih
mudah memandangkan gandingan di barisan tengah masih bersama Tuan Kamree Tuan
Yahya dan Mohd. Nazaruddin Mat Zain.
Kelantan masih tidak mempunyai
tenaga import untuk membantu Zahasmi Ismail di barisan pertahanan yang turut
didokong oleh Mohd. Saifulnizam Hussin, Azhar Aziz dan Zulkifli Abdullah.
Suhaidi menjelaskan, latihan
sejak dua hari lalu di padang batalion ke-12 Pasukan Polis Hutan, Pengkalan
Chepa sebagai memperkemaskan barisan pemain bagi menghadapi pemain muda pilihan
Afrika.
Skuad Kelantan kini di bawah
pengendalian Kamaruddin Mohd. Noor yang diberi peranan utama selaku jurulatih
baru skuad Kijang yang dibantu Hamid Ramli.
Katanya, Kamaruddin dipilih
mengemudi skuad Kelantan musim ini dan perlawanan malam ini tidak seharusnya
dijadikan ukuran di atas kemampuan sebenar jurulatih itu.
Katanya, tidak sukar bagi skuad
pelatih Kelantan menghadapi 'skuad permata hitam' dari Afrika memandangkan dua
perlawanan ujian sebelum ini menentang skuad pilihan Ghana mungkin mendedahkan
keupayaan yang hampir sama.
Menurutnya, kemungkinan
beberapa pemain dari Sabah dan Kuala Lumpur turut diuji malam ini sekiranya
mereka berhasrat untuk turut selaku calon pilihan Kelantan dalam menghadapi
kempen Liga Perdana musim ini.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0203&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4FR8EKc2i
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan