Rabu, 27 Julai 2016

Yuran perpindahan RM9.95 malukan Bobby - Sultan Ahmad Shah

ARKIB : 22/02/1998
PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah menyifatkan perbuatan Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) mengenakan yuran perpindahan sebanyak RM9.95 terhadap Bobby Chua untuk berhijrah ke Sarawak sebagai memalukan.

Menurut baginda, perbuatan itu tidak sepatutnya dilakukan semata-mata untuk memalukan pemain berkenaan dalam era bola sepak profesional hari ini.

''Saya sendiri fikir ia satu penghinaan yang tidak sepatutnya dibuat tambahan dalam bola sepak negara memasuki era profesional,'' kata baginda ketika memberi pandangan peribadi beliau mengenai isu tersebut.

Sultan berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Mohd. Zahidi Zainuddin di Istana Abu Bakar di Pekan, semalam.

FAM akan mengadakan pertemuan dengan SAFA dan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) bagi membincangkan masalah tersebut.

Yuran perindahan RM9.95 itu telah mencatatkan jumlah yang terendah dalam sejarah bola sepak profesional dan dianggap bertujuan bagi memalukan Bobby.

Bagaimanapun, penghinaan tersebut tidak mematahkan semangat pemain itu yang telah secara rasmi menyarung jersi Sarawak 8 Februari lalu.

Bobby dilaporkan menjadikan tindakan SAFA sebagai pembakar azamnya untuk membuktikan bahawa beliau bukannya pemain yang tidak berharga sekali gus membantu Sarawak mencapai kejayaan.

Sementara itu ketika diminta mengulas mengenai kes seorang lagi pemain Sabah, Jelius Ating, Sultan Ahmad Shah berkata, FAM akan mengadakan pertemuan dengan kedua-dua persatuan bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

Kelmarin, akhbar melaporkan FAS menolak tawaran SAFA untuk mengadakan pertemuan bagi membincangkan masalah tersebut dan sebaliknya menyerahkan kepada FAM untuk membuat keputusan tentang status Julius.

Presiden FAM berkata, persatuan tidak boleh mengambil sebarang tindakan terhadap Persatuan Bola Sepak Sabah kerana mereka tidak melanggar sebarang peraturan FIFA mahupun FAM.

Beliau turut menafikan FAM terlalu berlembut dengan SAFA walaupun pelbagai masalah yang ditimbulkan oleh persatuan bola sepak itu.

''Masalah yang timbul adalah masalah dalaman dan tidak melanggar peraturan FIFA atau FAM, jadi tiada sebarang tindakan yang boleh diambil,'' tegas baginda.




Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0222&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4FaypixVc © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan