Sabtu, 23 Julai 2016

Kekecewaan lalu dorong Jengking bersiap awal

ARKIB : 07/01/1998
JOHOR mahu melupakan kekecewaaan mereka pada Liga Perdana tahun lepas dan sudahpun mula membuat persediaan awal bagi musim baru.

Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) mengekalkan semua pemain tahun lepas dan mengukuhkan lagi pasukan dengan kemasukkan penyerang kebangsaan, Azmi Mohamed.

Sementara pemain asing yang ketiga masih lagi dicari, Johor akan melakukan segala-galanya untuk membuat percubaan menjadi pasukan nombor satu Liga Perdana.

Sebahagian dari persediaan yang dibuat untuk pusingan kelayakan termasuk menyertai kejohanan Piala Merdeka Vietnam yang bermula Khamis ini.

Jurulatih K.Sukumaran nampaknya senang dengan kedudukan sekarang. kecuali seorang atau dua pemain dalam skuad, beliau mempunyai pasukan yang berpengalaman untuk melonjak cabaran pasukan itu.

Sukumaran mengakui bahawa kehadiran Azmi dalam skuad memberikan taring yang lebih kepada barisan depan Johor _ kelemahan tahun lepas.

Azmi, 26, kembali kepada Johor selepas bermain dengan Negeri Sembilan sejak 1995.

Johor juga mengekalkan dua pemain asing mereka dari Australian, Darren Stewart dan Milan Blagojevic. Kontrak mereka dengan FA Johor ialah sehingga akhir tahun ini.

Musim lepas, Johor gagal untuk layak ke suku akhir Piala Malaysia apabila membuat penyudahan di tempat ke-12 dalam liga.

''Tidak dinafikan Azmi memberi semangat kepada pasukan. Beliau membuat penyesuaian baik dengan pasukan dan saya harap beliau dapat memperbaiki lagi permainnya,'' kata Sukumaran.

Sukumaran akan menggunakan kejohanan Piala Merdeka Vietnam untuk menilai prestasui keseluruhan pemain. Johor mengalahkan Pilihan Hwa Lian 3-0 pada satu perlawanan persahabatan di Pasir Gudang Ahad lepas. Azmi menjaring satu gol dan Idris Karim menjaring dua.

''Masih banyak lagi yang perlu dilakukan. Bagaimanapun, saya gembira saya masih mempunyai masa untuk memperbaiki kelemahan-kelemahan dalam pasukan. Kami akan bersedia untuk pusingan kelayakan,'' katanya.

Pasukan Johor berlepas ke Vietnam semalam. Bagaimanapun, Stewart dan Blagojovic hanya akan menyertai pasukan Johor hari ini. _ Bernama.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0107&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4FDiFSOQU © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan