ARKIB : 05/04/1998
PERAK mencatat kemenangan besar
pada malam pembukaan apabila menumpaskan Perlis, 5-0 dalam perlawanan Perdana
Satu di Stadium Perak, Ipoh, malam tadi, lapor KAMARUDIN ISMAIL.
Gol-gol perak dijaringkan oleh
P. Gunasegaran di minit ke-3, Lazslo Repasi pada minit ke-38, 56 dan 88 dan
Roslan Hamid pada minit ke-51.
Pasukan tuan rumah mempamerkan
permainan bertenaga dengan melakukan serangan yang mantap.
Perak hanya mengambil masa tiga
minit sahaja untuk menembusi pintu gol Perlis melalui tendangan leret P.
Gunasegaran.
Ketiadaan pertahanan utama,
Janos Krescka tidak memberi sebarang kesan apabila pertahanan Perak yang
diketuai Khairul Anwar Baharum berjaya mematahkan setiap serangan Perlis.
Penjaring terbanyak musim lalu,
Repasi gagal menolak masuk hantaran lintang M. Nagaraja pada minit ke-12 untuk
gol kedua. Penjaga gol Perlis, Rosman Hussin terpaksa bekerja keras bagi
menangkis setiap serangan Perak.
Akhirnya Repasi menunjukkan
taringnya dengan menambah gol kedua Perak melalui rembatan kencangnya dari
sudut yang sukar pada minit ke-38.
Pada babak kedua, Perak yang
mendapat sokongan padu hampir 12,000 penyokong terus menekan Perlis.
Pasukan tuan rumah melebarkan
lagi jaringan apabila Roslan Hamid merembat masuk hantaran silang Nagaraja bagi
gol ketiga pada minit ke-51.
Lima minit kemudian, Repasi
menambah gol lagi melalui tolakan mudah pada minit ke-56. Lima minit sebelum
perlawanan tamat, lampu limpah di Stadium Perak tiba-tiba terpadam menyebabkan
perlawanan ditangguh selama 10 minit.
Sebaik itu berfungsi semula, Repasi
menambah gol kelima Perak setelah menerima hantaran pendek daripada Sharin
Majid pada minit ke-88.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0405&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4Frd2MEGY
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan