Isnin, 25 Julai 2016

Stewart kekal ketua pasukan Johor

ARKIB : 26/01/1998
JOHOR mengekalkan Darren Stewart, pemain pertahanan dari Australia, sebagai ketua pasukan untuk musim bola sepak Liga Perdana tahun ini.

Ini merupakan tahun kedua Stewart diberi tanggungjawab sebagai ketua pasukan Johor.

Pengurus pasukan Johor yang baru Ahmad Mohamed berkata di Johor Bahru semalam Stewart diberi tanggungjawab membimbing pasukan Johor untuk melayakkan diri ke Perdana Satu tahun ini.

Johor, bagaimanapun, terpaksa beraksi dalam pusingan kelayakan dan menduduki dua tempat teratas sekiranya mereka mahu layak ke Perdana Satu. Sekiranya mereka gagal, Johor terpaksa berpuas hati bermain dalam Perdana Dua.

Semalam Persatuan Bola Sepak Johor mengumumkan belanjawan sebanyak RM6 juta untuk musim ini selepas menandatangani penajaan dengan penaja baru, JKING Sdn. Bhd. Penajaan itu bernilai RM250,000 untuk tempoh tiga tahun.

Para pemain Johor juga menandatangani kontrak mereka semalam. Kebanyakan pemain ditawarkan kontrak antara tiga dan lima tahun, kecuali Stewart, pemain tengah dari Australia Milan Blagojovic dan bekas pemain kebangsaan Sazali Nasir.

''Stewart telah membuktikan bahawa dia mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang baik. Kami yakin terhadapnya. Dia juga mesra dengan para pemain,'' kata Ahmad, yang juga setiausaha Persatuan Bola Sepak Johor. _ Bernama.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0126&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4FQx9mznQ © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan