ARKIB : 27/02/1998
PENGURUSAN skuad Kelantan masih
belum berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan oleh pemain-pemainnya
walaupun mampu mengikat Pahang dengan keputusan seri 1-1 dalam perlawanan
persahabatan di Kota Bharu, kelmarin, lapor MOHD. NOOR ISMAIL.
Pengurus skuad Kelantan,
Suhaidi menyifatkan Kelantan hanya mampu beraksi kental bagi tempoh 55 minit
dan selepas itu mati rentak dan keupayaan pemain seolah-olah terkulai.
Beliau menyifatkan kemantapan
skuad Kijang masih berada pada tahap 80 peratus dan perlukan latihan yang lebih
intensif dalam meningkatkan stamina pemain.
''Pemain kami belum mencapai
'fitness' yang menjamin mereka dapat bertahan bagi permainan sepenuh masa 90
minit, saya masih ragu kemampuan mereka menjelang perlawanan playoff berhadapan
Johor 7 Mac ini,'' ujarnya selepas perlawanan Kelantan-Pahang di Stadium Sultan
Muhammad Keempat di Kota Bharu, malam semalam.
Beliau memuji persembahan anak
buahnya pada separuh masa pertama pertemuan dengan skuad Gajah yang dianggap
salah sebuah pasukan gergasi, namun selepas 15 minit separuhmasa kedua,
pemain-pemain semacam hilang arah.
Rentak Kelantan mulai tidak
teratur selepas dua pemain lincahnya, Adamu Tigana dan Wah Kah Loon dikeluarkan
selepas mengalami kecederaan.
Kemasukan Aliff Rohaimi Azizhan
menggantikan Wah Kah Loon dan Nazaruddin Mohd. Zain mengambil tempat Tigana,
tidak banyak mengubah keadaan sewaktu pemain-pemain lain sudah tidak bermaya.
Kecederaan yang dialami oleh
Saifulnizam Hussin di barisan pertahanan menyebabkan benteng pertahanan turut
goyah, beban mengawal kubu ditanggung oleh Tuan Kamree Tuan Yahya dan Ghafor
Mohamad manakala tonggaknya, Zahasmi Ismail tidak diturunkan akibat kecederaan
ketika pertemuan dengan Poland.
Suhaidi bagaimanapun lega dengan
reputasi Hashim Mustapha yang mulai kembali cemerlang, Wan Rohaimi, begitu juga
dengan Mario Gomez sudah ada peningkatan bagaimanapun terpaksa dikeluarkan pada
separuhmasa kedua bagi menguji Badrisham Kadir di barisan serangan.
''Melalui ujian terakhir dengan
skuad Gajah, kami telah mengenalpasti kesebelasan utama yang akan diturunkan
pada pertemuan dengan Johor 7 Mac ini. Saya yakin Zahasmi, Adamu Tigana dan Wah
Kah Loon pulih sepenuhnya menjelang pertemuan itu,'' katanya.
Kelantan memperolehi gol menerusi
rembatan kencang Hashim Mustapha hasil kombinasinya bersama Wan Rohaimi Wan
Ismail untuk menewaskan penjaga gol Pahang, Muadzar Mohd pada minit ke 20.
Skuad Tok Gajah yang menurunkan
empat importnya di perlawanan itu menunggu sehingga minit ke 85 bagi menyamakan
kedudukan menerusi ketua pasukannya, Erik Storkson dari jarak jauh menewaskan
Azuan Othman, penjaga gol Kelantan.
Turut menyaksikan pertemuan
tersebut Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Datuk Wan Hashim Wan
Daud dan ketua jurulatih Terengganu, Abdul Rahman Ibrahim.
Kelantan dan Terengganu akan
bertemu dalam play-off untuk kelayakan menyertai Liga Premier Satu di Kuala
Terengganu pada 10 Mac dan di Kota Bharu pada 17 Mac.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0227&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4Fbm6kiTv
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan