ARKIB : 04/01/1998
FENOMENA baru kini melanda Liga
Perdana musim baru bakal menyaksikan semakin banyak pemain bertukar selera dan
mencari skuad lebih mewah berikutan langkah terbaru Persatuan Bola Sepak
Malaysia (FAM) mengehadkan jumlah gaji kepada RM5,000.
Kadar gaji RM5,000 serta
tambahan elaun dan insentif lain tidak melebihi RM3,000 kini tidak lagi
menjamin pemain kekal betrsama pasukan lama, dan mereka dikatakan lebih
berminat untuk mendapatkan tawaran gaji setinggi yang boleh.
Fenomena ini turut
mengakibatkan beberapa pasukan 'berjenama' bakal musnah apabila beberapa
tonggak utama mereka dikatakan lebih berminat 'balik kampung' atau menyertai
skuad lain untuk meneruskan sisa perjuangan masing-masing musim ini.
Kemelut penghijrahan pemain ini
juga menghangatkan lagi cabaran liga musim ini yang terpecah dua kepada Premier
Satu dan Premier Dua.
Pada peringkat Premier Satu, 10
pasukan Piala Malaysia musim lalu sedia menanti, manakala dua tempat lagi
menjadi rebutan pasukan lain, termasuk skuad Olimpik yang pertama kali bertarung
dalam siri ini.
Bahang perebutan tempat, had
gaji paling tinggi RM5,000, serta pergelutan kuasa dalaman beberapa persatuan
sukan seperti di Selangor dan Kelantan, kini mencemaskan beberapa pengurusan
pasukan.
Antara pasukan yang terancam
akibat penghijrahan pemain musim ini ialah Perlis, Negeri Sembilan dan
Kelantan, selain Selangor yang lebih banyak berdepan dengan kemelut perebutan
kuasa dan kerja singkit menyingkir.
Beralih ke utara, Perlis kini
berdepan masalah ketiadaan jurulatih apabila Abdul Rahman Ibrahim ingin
mencurah khidmat buat negerinya Terengganu musim ini dan turut kehilangan dua
tonggak utamanya, Badrul Hisham Abdullah dan Annuar Jusoh.
Begitupun, pengurusan Perlis
boleh menarik nafas sedikit apabila 11 pemain lain sedia menandatangani kontrak
untuk meneruskan perjuangan bersama Singa Utara.
Bagi Negeri Sembilan pula,
kepulangan tonggak harapan, Azmi Mohamad ke pangkuan Johor menambah perit usaha
mereka untuk menyembuhkan luka musim lalu selepas gagal mencari ruang ke suku
akhir.
Negeri Sembilan sebelum itu
menerima kejutan awal apabila jurulatihnya, M. Karathu mengambil keputusan
meletakkan jawatan selepas kecewa dengan persembahan buruk para pemainnya.
Di kepulauan Borneo, Sabah
semakin tidak terurus selepas penyerang berbisanya, Scott Olleranshaw tidak
mahu lagi meneruskan komitmennya terhadap pasukan itu.
Dua lagi pemainnya Suharmin
Yusof dan Mohd. Jaya Kassim pula sudah menampakkan minat untuk menyarung jersi
Pulau Pinang dan hakikat ini menambah pening buat jurulatih, Ronald Smith untuk
membuat percaturan mantap musim ini.
Dalam pada itu, Kelantan turut
dihimpit masalah dengan beberapa pemainnya dikatakan kini ingin bertukar angin
ke negeri lain.
Tuan Kamree Tuan Yahya, Alif
Rohimin Rozihan, Wan Rohaimi Isamail dan beberapa lagi bintang negeri itu
dikatakan sedang cuba dipikat pasukan lain, termasuk skuad gergasi Pahang yang
mempunyai reputasi terbaik sebagai naib juara Piala Malaysia 1997.
Selain itu, Sarawak juga
mungkin kehilangan beberapa pemain termasuk Affendy Julaihi.
Perebutan pemain yang melanda
pasukan seluruh negara, sebaliknya menceriakan sebuah lagi skuad dari Borneo
iaitu Brunei yang belum kedengaran ada pemainnya akan bertukar haluan.
Kedudukan ini tentunya memberi
sedikit kelebihan dan keselesaan buat Brunei, penghuni salah satu tempat suku
akhir Piala Malaysia musim lalu untuk menamatkan kemarau kejayaan.
Apapun, pertarungan musim ini
dijangka banyak berpaut kepada kebijaksanaan dan kecekapan pengurusan memilih
pemain dalam menghadapi suasana berjimat cermat.
Selain itu, menguji sepintar
mana kemelut dalaman dapat diredakan, serta pembentukan gandingan mantap pemain
sebelum perjuangan awal berlangsung Mac ini.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0104&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4FDa5P3sz
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan