Rabu, 27 Julai 2016

Dollah dilamar skuad Rusa

ARKIB : 26/02/1998
'JODOH' bekas ketua pasukan bola sepak Liga Perdana Melaka musim lalu, Dollah Salleh mungkin tidak berpanjangan apabila Negeri Sembilan bersedia melamar bekas pemain kebangsaan itu, AMIRUDDIN HARUN melaporkan.

Ini disahkan oleh Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA) apabila menerima surat daripada Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan yang difakskan ke pejabat MAFA petang semalam.

Setiausaha Kehormat MAFA, Hahi Salleh berkata, dalam surat tersebut, persatuan dari negeri jiran itu bersetuju untuk mengadakan perbincangan dengan Dollah.

''Pasukan Rusa itu mungkin berminat untuk mengambil bekas pemain kebangsaan itu untuk menyarung jersi pasukan Negeri Sembilan musim ini,'' katanya ketika dihubungi di Melaka, semalam.

Dollah dijangka bermain untuk pasukan Melaka pada musim ini apabila ia mengikat kontrak dengan Syarikat Flashtasia Sdn. Bhd. yang diberi tanggungjawab untuk mengendalikan pasukan Liga Perdana Melaka musim ini.

Bagaimanapun, MAFA terpaksa menggugurkan Syarikat Flashtasia apabila timbul pelbagai masalah antara kedua-dua pihak, sekali gus menyebabkan nasib Dollah terumbang-ambing sehingga kini.

Sementara itu, skuad Liga Perdana Melaka sudah menguji tiga pemain dari Afrika pada perlawanan persahabatan dengan sebuah kelab dari Kuala Lumpur di Bangi, petang semalam.

Hahi berkata, ketiga-tiga pemain itu adalah Tebowei Edwards Dipreye, 29, dan John Onwudegwu, 24 (Nigeria) serta Belle Belle Yves, 29 dari Cameroon.

Menurutnya, mereka akan diuji kesesuaian serta kebolehan beraksi bersama pemain tempatan bagi merebut peluang menyertai skuad Kancil.

''Ketiga-tiga pemain itu mungkin diserapkan dalam pasukan Liga Perdana Melaka sekiranya dapat memuaskan hati pihak pengurusan,'' katanya.

Beliau turut menjelaskan yang MAFA akan mengadakan majlis menandatangani kontrak pemain Liga Perdana Melaka 1998, petang ini.

Sebelum ini hampir semua pemain yang mengikuti latihan intensif termasuk Dollah Salleh dan bekas ketua pasukan Selangor, Ismail Ibrahim hadir dalam temu duga.

Pemilihan pemain terpaksa dijalankan sendiri oleh MAFA berikutan kegagalan untuk menswastakan skuad berkenaan dengan sebuah syarikat dari Johor Bahru.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0226&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4FbfdSwN9 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan