Ahad, 7 Mei 2017

Debaran bermula malam ini



ARKIB : 29/01/2005

Oleh: AMRAN MULUP

ABDUL RAHMAN IBRAHIM (kanan) memperkatakan sesuatu kepada anak buahnya semasa latihan persiapan menentang Perak dalam Piala Sumbangsih di Stadium Utama Kangar, semalam. - Gambar NIDZUWAN ZAINAL ABIDIN.

KUALA LUMPUR - Malam ini tirai edisi kedua Liga Super Malaysia musim 2005 akan bermula menandakan kempen bola sepak Liga Malaysia yang lebih mencabar dan bertenaga untuk ditempuhi oleh lapan pasukan terbaik.

Lebih menarik, pertemuan juara Piala Malaysia musim lalu, Perlis dengan juara Piala FA, Perak di Stadium Utama, Kangar menjadi tumpuan untuk menentukan siapakah paling gagah dalam perlawanan Sumbangsih untuk merangkul gelaran pertama musim ini bagi menjulang Piala Sultan Ahmad Shah.

Reputasi kedua-dua pasukan tidak mampu disanggah berdasarkan kejayaan yang dirintis musim lalu, namun kempen bermula malam ini lebih menjadi penentu siapa yang lebih unggul.

Perlis masih segar dengan gelaran selaku juara Piala Malaysia selepas 83 tahun menunggu, kali ini berpeluang menambah koleksi mendakap gelaran pertama kempen musim ini.

Bezanya, kali ini skuad Singa Utara tidak diterajui oleh jurulatihnya, Norizan Bakar yang berhijrah menggalas cabaran skuad Pulau Pinang.

Malah pemain berpengalaman seperti Tengku Hazman Raja Hassan dan Mohd. Faisal Esahar turut mengikut jejak langkah Norizan ke Pulau Pinang manakala pemain importnya, Joao Bandoch tidak disenaraikan kali ini.

Begitupun, kehadiran jurulatih Abdul Rahman Ibrahim sedikit sebanyak mampu menyuntik ngauman Singa Utara dalam usaha untuk mempertahankan gelaran yang didakap musim lalu.

Buat Perak, tanpa gandingan penyerang berkaliber, Muhammad Khalid Jamlus, V. Saravanan, Liew Kit Kong yang berhijrah ke pasukan lain, menjadi persoalan kemampuan sebenar mereka.

Skuad Seladang masih mempertaruhkan sentuhan jurulatih Toni Netto mengadunkan gandingan baru Mohd. Rafdi Rashid, Wirat Nom, V. Thirumurugan dan Mohd. Nor Ismail untuk menggegar Perlis malam ini.

Perlawanan lain yang turut menjadi tumpuan ialah juara Liga Super pertama, Pahang menanti kunjungan bekas juara Piala Malaysia 2003, MPPJ di Stadium Darul Makmur.

Selain itu, dua lagi pertemuan yang tidak kurang hebatnya ialah Public Bank menanti kunjungan Melaka Telekom di Stadium Shah Alam dan Pulau Pinang pula menunggu Sabah di Stadium Bandaraya.

Pertemuan Pahang-MPPJ dianggap sengit apa lagi memperlihatkan barisan skuad Tok Gajah lebih gagah berbanding MPPJ.

Andunan jurulatih Zainal Abidin Hassan memiliki pemain terbilang seperti Rosdi Talib, Norhafiz Zamani Misbah, Hairuddin Omar, Indra Putra Mahayuddin, Azizul Kamaluddin dan Mohd. Fadzli Saari membuktikan kehebatan skuad Pahang kali ini.

Bagi MPPJ yang kehilangan jurulatih berpengalaman, Dollah Salleh yang berhijrah ke Selangor, kehadiran Reduan Abdullah mampu menyuntik kehebatan pasukan itu.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0129&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4gNklSDov
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 6 Mei 2017

Kedah, Selangor dalam kumpulan maut -- Liga Perdana 2005

ARKIB : 10/01/2005

NAIB juara Piala Malaysia 2004, Kedah dan Selangor diundi dalam satu kumpulan yang dianggap sengit dalam menghadapi saingan bola sepak Liga Perdana musim ini.
Selain kedua-dua pasukan, Kumpulan A itu turut dianggotai skuad TNB Kelantan, Kuala Lumpur, Brunei, MK Land, Melaka serta pasukan muka baru NTFA Pulau Pinang.
Kumpulan B pula menyaksikan barisan pasukan yang terdiri daripada Jenderata Perak, Johor, Terengganu, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Johor FC, Sarawak, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Negeri Sembilan.
Jurulatih Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah menyifatkan kesemua pasukan dalam kumpulan tersebut perlu diberi perhatian sama rata.
``Walaupun Selangor antara pilihan kerana mempunyai ramai pemain berwibawa seperti Khalid Jamlus dan tenaga import dari Indonesia, Bambang Pamungkas pasukan lain juga jangan dipandang rendah.
``Ini termasuk pasukan bertaraf kelab...kita tidak tahu tentang persiapan mereka menghadapi musim baru menerusi pemilihan pemain yang benar-benar berkesan,'' katanya ketika ditemui selepas Majlis Undian Liga Malaysia 2005 di Kuala Lumpur, semalam.
Namun, katanya, Kedah sudah bersedia dan pengalaman beraksi dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2004 merupakan kelebihan daripada aspek pendedahan pemain.
``Aksi final (Piala Malaysia) memberikan pengalaman luas dan kita juga diperkuatkan dengan kehadiran semula Akmal Rizal Rakhli yang pulih daripada kecederaan untuk membantu Kedah,'' katanya.
Kedah yang kehilangan Rafdi Rashid yang berhijrah ke Perak mengekalkan pemain importnya musim lalu, Cornelius Hugging dan mencari dua tenaga baru.
Jurulatih TNB Kelantan, Azman Eusoff memberitahu, pasukannya menghadapi saingan cukup getir kerana bertemu pasukan-pasukan yang agak handal termasuk Kedah dan Selangor.
Bagaimanapun, kata Azman, dia berkeyakinan barisan pemainnya dapat memberikan saingan sebaik mungkin sepanjang kempen Liga Perdana musim ini.
``Walaupun tugas agak berat kerana barisan TNB Kelantan terdiri daripada pemain muka baru yang kurang berpengalaman, saya rasa kami mampu hadapinya,'' tambah Azman.
Sementara itu, jurulatih Terengganu, Yunus Alif pula berpendapat, pasukannya masih tidak terlepas daripada aksi-aksi mantap skuad-skuad bola sepak yang diundi dalam Kumpulan B.
``Saya tidak menganggap selamat...pasukan-pasukan lain termasuk Negeri Sembilan dan Sarawak masih mampu memberi saingan getir jika kita tidak berwaspada.
``Begitu juga dengan kelab-kelab dalam kumpulan ini yang sudah pasti memberi ancaman, apatah lagi kita tidak mengetahui kekuatan sebenarnya,'' katanya.
Jurulatih PKNS, Ismail Ibrahim berkata, saingan dianggap getir tetapi pemain-pemain pasti sudah bersedia untuk memberikan aksi yang memberangsangkan.
``Saya menyifatkan kedudukan dalam kumpulan mana sekalipun, kita terpaksa memberikan aksi mantap untuk mencapai kejayaan,'' tambahnya.

Mutu pemain kita di takuk lama

ARKIB : 10/01/2005

TIMBALAN Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah (depan) mengumumkan kedudukan pasukan Liga Super sambil diperhatikan oleh setiausaha eksekutif, Yap Nyim Keong pada majlis undian Liga Malaysia 2005 di Kuala Lumpur, semalam. - GAMBAR ABDUL NAZIR MOHAMED.



MUTU bola sepak Liga Super yang mula diperkenalkan musim lalu belum mencapai tahap yang memuaskan untuk melahirkan pemain kebangsaan yang berkualiti, kata Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Menurut beliau, walaupun pada dasarnya kempen Liga Super membabitkan lapan pasukan terbaik berjalan lancar sejak diperkenalkan tahun lalu, tetapi pada hakikatnya kualiti corak permainan dan kelibat pemain masih di takuk lama.
Faktor itu, kata beliau, menjadi salah satu punca kegagalan skuad bola sepak kebangsaan terutama pada saingan Piala Tiger.
Ujarnya, Liga Super bukan sahaja gagal melihat mutu bola sepak tempatan menunjukkan peningkatan tetapi juga turut gagal melahirkan pemain berkualiti.
``Pencapaian Liga Super gagal mencapai matlamat yang ditetapkan oleh FAM.
``Corak permainan belum mencapai tahap yang boleh dibanggakan dan lebih mengecewakan ia turut melihat kurang penampilan kualiti pemain yang berkaliber,'' ujarnya.
Tengku Abdullah menyatakan demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan majlis undian Liga Malaysia 2005 (Liga-M2005), semalam.
Mengulas lanjut, beliau menambah, kegagalan Liga Super mencapai tahap tersebut ia menjadi salah satu sebab mengapa Malaysia gagal membentuk sebuah pasukan bola sepak kebangsaan yang mantap.
``Kalau dilihat pada liga tempatan sebenarnya kita mampu melahirkan ramai pemain berkualiti, bukan sahaja ada kualiti pada corak permainan malah juga dari segi mental dan fizikal,'' tambahnya.
Berkualiti
Tengku Abdullah menegaskan, tujuan FAM memperkenalkan Liga Super tahun lalu sebenarnya adalah untuk meningkatkan tahap bola sepak liga domestik selain melahirkan lebih ramai pemain berkualiti yang boleh menggalas cabaran memartabatkan bola sepak Malaysia di pentas dunia.
Ujarnya, apabila tahap bola sepak liga domestik tidak meningkat secara tidak langsung kualiti pemain termasuk kecergasan, mental dan fizikal jauh ketinggalan.
``Saya akui kegagalan skuad bola sepak kebangsaan tewas 1-4 kepada Indonesia pada saingan separuh akhir kedua turut berpunca daripada tahap mental pemain kurang mantap selain tahap kecergasan dan fizikal.
``Ini juga kerana setiap pasukan dalam Liga Super yang diperkenalkan musim lalu tidak memberi penekanan kepada pembentukan pemain bukan sahaja dari segi kecergasan tetapi juga mental,'' ujarnya.
Tanpa mahu mengulas lanjut mengenai prestasi semasa skuad Piala Tiger negara, Tengku Abdullah menyarankan kepada pasukan negeri dan kelab yang bertanding pada Liga Malaysia 2005 agar mempertingkatkan mutu bola sepak masing-masing.
``Saya amat berharap semua pasukan yang bertanding dalam Liga Super dan Liga Perdana dapat berubah dengan memberikan tumpuan meningkatkan corak permainan,'' ujarnya.
Tengku Abdullah turut menegur sikap pemain yang tidak ambil peduli mengenai penjagaan badan termasuk mengabaikan waktu tidur dan waktu makan.
Keadaan itu jelasnya boleh menyebabkan pemain tidak mampu bertahan beraksi sepanjang tempoh 90 minit babak berlangsung atau lebih daripada 180 minit.
Sehubungan itu, Tengku Abdullah mahu setiap jurulatih negeri dan kelab memberikan penekanan dalam aspek latihan dengan memberi tumpuan kepada soal kecergasan dan mental setiap pemain.
Beliau mahu kempen Liga Malaysia 2005 akan lebih cemerlang dan jauh membanggakan berbanding musim lalu.

Jumaat, 5 Mei 2017

MK Land sasar ke Liga Super

ARKIB : 29/12/2004
NAIB juara bola sepak Liga Perdana B, MK Land meletakkan sasaran layak ke Liga Super tahun 2006 bersandarkan kepada barisan baru pemainnya untuk musim depan.
Pengerusi Eksekutif MK Land Holdings Berhad, Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar berkata, hanya lapan pemain dikekalkan manakala selebihnya adalah pemain baru. ``Sasaran kami untuk musim 2006 ialah layak ke Liga Super,'' katanya kepada pemberita pada majlis menandatangani kontrak pemain MK Land dan penyerahan barangan sukan tajaan Kappa di Petaling Jaya, semalam.
MK Land yang dilatih bekas pemain kebangsaan, Khan Hung Meng gagal ke Liga Super musim depan apabila menamatkan saingan Liga Perdana B musim ini di tempat kedua di belakang MPPJ.

Shahril kekal bersama MPPJ

ARKIB : 21/12/2004

PEMAIN veteran, Shahril Arsat kekal bersama juara Piala Malaysia tahun lalu, MPPJ Selangor untuk musim kedua dengan tekad membantu pasukan itu memberi saingan dalam Liga Super 2005.
Pemain berusia 32 tahun yang mewakili Selangor ketika era gemilang Red Giant selama tujuh tahun dari 1993 hingga 1998 yakin masih mampu menjadi penggerak utama bahagian tengah MPPJ.
Katanya, bersaing dengan pasukan elit dalam Liga Super musim depan menaikkan lagi semangatnya untuk memastikan MPPJ bukan sekadar penumpang di kalangan pasukan terkuat bola sepak negara.
``Saya gembira kerana MPPJ masih menaruh kepercayaan terhadap saya bagi menggalas cabaran Liga Super tahun depan.
``Saya yakin walaupun berstatus kelab, MPPJ mampu memberi saingan kepada pasukan bertaraf elit,'' katanya.
Selain Selangor, Shahril pernah beraksi untuk Pulau Pinang pada 1999 sebelum menyertai Sabah dari 2000 hingga 2003. Shahril kembali semula ke pasukan Lembah Klang, MPPJ musim ini.
MPPJ muncul juara Liga Perdana musim ini dan layak ke Liga Super tahun depan bersama sebuah lagi pasukan bertaraf kelab, Telekom Melaka, untuk menyertai `rakan' mereka, Public Bank dalam Liga Super 2005.
Shahril yang mendirikan rumah tangga dengan model terkenal, Noraini Morat, berkata walaupun sekadar menjaringkan tiga gol sepanjang musim ini, dia berpuas hati kerana diturunkan dalam kesebelasan utama sepanjang kempen Liga Perdana 2004 bersama MPPJ.
Walaupun bersaing dengan pemain muda seperti Mohd Zaidi Zaing dan Azrin Shah Zainal, Shahril yakin posisinya tidak tergugat.
``Azam saya ialah untuk terus menjadi pilihan utama di bahagian tengah MPPJ musim depan,'' katanya.
Mengenai perubahan barisan depan MPPJ yang kehilangan Aiman Firdaus dan Haris Safuan kerana berhijrah ke Selangor bersama penjaga gol Jamsari Sabian dan jurulatih, Dollah Salleh, Shahril berkata ia tidak menggugatnya membentuk persefahaman dengan pemain di barisan depan.
``Penghijrahan mereka bukan perubahan besar dalam MPPJ.
``Saya yakin dapat membentuk persefahaman dengan pemain depan sedia ada MPPJ seperti (Bruno Sebastian) Martelotto, Nizaruddin (Yusof) mahupun (Brenezac) Sasa.
``Begitu juga dengan kehadiran pemain-pemain baru yang bakal menyarung jersi MPPJ musim depan,'' katanya.