Sabtu, 6 Mei 2017

Kedah, Selangor dalam kumpulan maut -- Liga Perdana 2005

ARKIB : 10/01/2005

NAIB juara Piala Malaysia 2004, Kedah dan Selangor diundi dalam satu kumpulan yang dianggap sengit dalam menghadapi saingan bola sepak Liga Perdana musim ini.
Selain kedua-dua pasukan, Kumpulan A itu turut dianggotai skuad TNB Kelantan, Kuala Lumpur, Brunei, MK Land, Melaka serta pasukan muka baru NTFA Pulau Pinang.
Kumpulan B pula menyaksikan barisan pasukan yang terdiri daripada Jenderata Perak, Johor, Terengganu, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Johor FC, Sarawak, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Negeri Sembilan.
Jurulatih Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah menyifatkan kesemua pasukan dalam kumpulan tersebut perlu diberi perhatian sama rata.
``Walaupun Selangor antara pilihan kerana mempunyai ramai pemain berwibawa seperti Khalid Jamlus dan tenaga import dari Indonesia, Bambang Pamungkas pasukan lain juga jangan dipandang rendah.
``Ini termasuk pasukan bertaraf kelab...kita tidak tahu tentang persiapan mereka menghadapi musim baru menerusi pemilihan pemain yang benar-benar berkesan,'' katanya ketika ditemui selepas Majlis Undian Liga Malaysia 2005 di Kuala Lumpur, semalam.
Namun, katanya, Kedah sudah bersedia dan pengalaman beraksi dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 2004 merupakan kelebihan daripada aspek pendedahan pemain.
``Aksi final (Piala Malaysia) memberikan pengalaman luas dan kita juga diperkuatkan dengan kehadiran semula Akmal Rizal Rakhli yang pulih daripada kecederaan untuk membantu Kedah,'' katanya.
Kedah yang kehilangan Rafdi Rashid yang berhijrah ke Perak mengekalkan pemain importnya musim lalu, Cornelius Hugging dan mencari dua tenaga baru.
Jurulatih TNB Kelantan, Azman Eusoff memberitahu, pasukannya menghadapi saingan cukup getir kerana bertemu pasukan-pasukan yang agak handal termasuk Kedah dan Selangor.
Bagaimanapun, kata Azman, dia berkeyakinan barisan pemainnya dapat memberikan saingan sebaik mungkin sepanjang kempen Liga Perdana musim ini.
``Walaupun tugas agak berat kerana barisan TNB Kelantan terdiri daripada pemain muka baru yang kurang berpengalaman, saya rasa kami mampu hadapinya,'' tambah Azman.
Sementara itu, jurulatih Terengganu, Yunus Alif pula berpendapat, pasukannya masih tidak terlepas daripada aksi-aksi mantap skuad-skuad bola sepak yang diundi dalam Kumpulan B.
``Saya tidak menganggap selamat...pasukan-pasukan lain termasuk Negeri Sembilan dan Sarawak masih mampu memberi saingan getir jika kita tidak berwaspada.
``Begitu juga dengan kelab-kelab dalam kumpulan ini yang sudah pasti memberi ancaman, apatah lagi kita tidak mengetahui kekuatan sebenarnya,'' katanya.
Jurulatih PKNS, Ismail Ibrahim berkata, saingan dianggap getir tetapi pemain-pemain pasti sudah bersedia untuk memberikan aksi yang memberangsangkan.
``Saya menyifatkan kedudukan dalam kumpulan mana sekalipun, kita terpaksa memberikan aksi mantap untuk mencapai kejayaan,'' tambahnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan