Selasa, 30 Mei 2017

MK Land, Kedah kejar Selangor



ARKIB : 25/05/2005

KUALA LUMPUR - Ketika Selangor selesa mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu Liga Perdana Kumpulan A, dua seteru utama MK Land dan Kedah bertemu di Stadium Darul Aman malam ini untuk menentukan siapa bakal mengekori rapat skuad Merah Kuning.

Pertembungan kedua-dua pasukan itu menjadi tumpuan kerana mereka antara dua pasukan bakal mencabar kedudukan Selangor dengan enam baki perlawanan sebelum saingan Liga Perdana berakhir.

Pasukan yang menang bakal mengekori rapat Selangor yang kini di tangga teratas dengan 37 mata manakala MK Land dan Kedah masing-masing terikat dengan 30 mata.

Atas kertas kelebihan jelas milik Kedah yang menjadi satu-satunya pasukan yang masih belum tewas dalam sebarang perlawanan setakat ini.

Kedah pula mempunyai rekod yang lebih baik berbanding MK Land apabila seri 0-0 di tempat lawan pada 6 Februari lalu sebelum menang 3-2 ke atas lawan di gelanggang sendiri pada 27 Mac lalu.

Berdasarkan rekod itu, jelas Kedah lebih berpeluang untuk menang dan sekali gus memintas MK Land untuk berada di tangga kedua di belakang Selangor.

Buat kedua-dua pasukan perlu menang perlawanan ini jika berhasrat untuk mencabar kedudukan Selangor untuk mara ke Liga Super musim depan.

Namun keupayaan MK Land yang menduduki tangga kedua liga tidak boleh dipandang rendah keupayaan mereka.

Anak didik Khan Hung Meng memiliki jentera serangan ampuh menerusi gandingan Marlon Alex James dan kelincahan Miroslav Toth untuk menggegar jaring Kedah.

Jentera serangan MK Land nyata lebih menyerlah daripada Kedah selepas 14 perlawanan mereka telah menjaringkan 41 gol berbanding skuad Kenari hanya 28 gol.

Kedah pastinya mengharapkan sentuhan Akmal Rizal Rakhli, Hasmawi Hassan dan Liew Kit Kong untuk menyaingi kehebatan MK Land.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0525&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz4iYJy3lxp
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan