Isnin, 29 Mei 2017

Bayangan juara semakin hampir



ARKIB : 21/05/2005

KUALA LUMPUR - Tujuh baki perlawanan mengharungi saingan pusingan ketiga bermula malam ini yang akan menjadi titik tolak untuk menentukan pasukan bakal bergelar juara Liga Super musim 2005.

Selepas mengharungi 14 perlawanan perbezaan mata antara pendahulu Perlis dengan Pahang, Pulau Pinang dan Public Bank tidak jauh berbeza.

Manakala Telekom, MPPJ, Sabah dan Perak pula terpaksa bersaing bagi mengelakkan diri daripada menduduki dua tangga tercorot yang bakal menyaksikan mereka tersingkir ke Liga Perdana musim depan.

Setiap pasukan tidak mempunyai banyak pilihan berada di tangan dengan baki tujuh perlawanan melainkan mengutip kemenangan demi kemenangan untuk meraih kejayaan.

Kedudukan Perlis di tangga teratas liga dengan kelebihan lima mata mengatasi Pahang di tempat kedua, Pulau Pinang pula dengan tujuh mata belum dianggap selamat.

Bagi Sabah dan Perak yang menduduki dua tangga tercorot pula tidak punya banyak pilihan perlu menang untuk mengelakkan diri daripada tersingkir ke Liga Perdana musim depan.

Malam ini menyaksikan empat perlawanan menarik membabitkan Perak berdepan dengan Perlis di gelanggang sendiri.

Buat Perak yang bergantung kepada sentuhan jaringan Frak Seator perlu menang ke atas Perlis jika tidak kedudukan mereka bakal lebih menyulitkan untuk terus menghuni tangga terbawah.

Perak pastinya mampu menarik nafas lega apa lagi skuad Singa Utara menerima kejutan apabila rebah kepada Telekom 1-2 di gelanggang sendiri minggu lalu.

Manakala Sabah pula melayani kedatangan Pulau Pinang di Stadium Likas, Pahang bertandang ke Stadium Petaling Jaya bertemu MPPJ dan Telekom berdepan dengan Public Bank di Stadium Hang Jebat.

Kesemua perlawanan malam ini sifatkan penting buat semua pasukan lebih lagi Pahang selaku penyandang juara Liga Super musim lalu mesti menewaskan MPPJ untuk merapatkan diri bagi mencabar kedudukan Perlis.

Pahang dengan sentuhan Bernard Tchoutang tetapi sudah tersisih perjuangan di Piala FA baru-baru ini bakal mencongak strategi paling mantap untuk mengutip tiga mata berharga ke atas MPPJ.

Buat Pulau Pinang yang menduduki tangga ketiga liga bakal berdepan tugas rumit berdepan Sabah yang kini terhimpit berada dua anak tangga terbawah liga.

Sentuhan jaringan Jose Baretto dan Viatcheslav Melnikov yang menjadi pemusnah ketika Pulau Pinang menang 3-1 ke atas Public Bank menjadi sandaran untuk membenam Sabah.

Telekom pula yang masih segar dengan kemenangan 2-1 ke atas Perlis minggu lalu mengharapkan sentuhan kemenangan berterusan apa lagi berdepan dengan Public Bank yang ketika ini prestasi masih tidak menentu.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0521&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iXCkBrqQ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan