ARKIB : 21/12/2004
PEMAIN veteran, Shahril Arsat kekal bersama juara Piala Malaysia tahun lalu, MPPJ Selangor untuk musim kedua dengan tekad membantu pasukan itu memberi saingan dalam Liga Super 2005.
Pemain berusia 32 tahun yang mewakili Selangor ketika era gemilang Red Giant selama tujuh tahun dari 1993 hingga 1998 yakin masih mampu menjadi penggerak utama bahagian tengah MPPJ.
Katanya, bersaing dengan pasukan elit dalam Liga Super musim depan menaikkan lagi semangatnya untuk memastikan MPPJ bukan sekadar penumpang di kalangan pasukan terkuat bola sepak negara.
``Saya gembira kerana MPPJ masih menaruh kepercayaan terhadap saya bagi menggalas cabaran Liga Super tahun depan.
``Saya yakin walaupun berstatus kelab, MPPJ mampu memberi saingan kepada pasukan bertaraf elit,'' katanya.
Selain Selangor, Shahril pernah beraksi untuk Pulau Pinang pada 1999 sebelum menyertai Sabah dari 2000 hingga 2003. Shahril kembali semula ke pasukan Lembah Klang, MPPJ musim ini.
MPPJ muncul juara Liga Perdana musim ini dan layak ke Liga Super tahun depan bersama sebuah lagi pasukan bertaraf kelab, Telekom Melaka, untuk menyertai `rakan' mereka, Public Bank dalam Liga Super 2005.
Shahril yang mendirikan rumah tangga dengan model terkenal, Noraini Morat, berkata walaupun sekadar menjaringkan tiga gol sepanjang musim ini, dia berpuas hati kerana diturunkan dalam kesebelasan utama sepanjang kempen Liga Perdana 2004 bersama MPPJ.
Walaupun bersaing dengan pemain muda seperti Mohd Zaidi Zaing dan Azrin Shah Zainal, Shahril yakin posisinya tidak tergugat.
``Azam saya ialah untuk terus menjadi pilihan utama di bahagian tengah MPPJ musim depan,'' katanya.
Mengenai perubahan barisan depan MPPJ yang kehilangan Aiman Firdaus dan Haris Safuan kerana berhijrah ke Selangor bersama penjaga gol Jamsari Sabian dan jurulatih, Dollah Salleh, Shahril berkata ia tidak menggugatnya membentuk persefahaman dengan pemain di barisan depan.
``Penghijrahan mereka bukan perubahan besar dalam MPPJ.
``Saya yakin dapat membentuk persefahaman dengan pemain depan sedia ada MPPJ seperti (Bruno Sebastian) Martelotto, Nizaruddin (Yusof) mahupun (Brenezac) Sasa.
``Begitu juga dengan kehadiran pemain-pemain baru yang bakal menyarung jersi MPPJ musim depan,'' katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan