Ahad, 25 November 2018

Shahzan Muda kejutkan Johor


ARKIB : 23/05/2009
KUALA LUMPUR - Johor membuka tirai pusingan kedua Liga Perdana dengan langkah kiri apabila tewas mengejut 0-1 kepada Shahzan Muda pada perlawanan di Stadium Darul Makmur, Kuantan, semalam.

Kekalahan itu sekali gus menyaksikan kedudukan mereka selaku pencabar utama pendahulu liga, Harimau Muda, kini semakin terjejas.

Gol kemenangan Shahzan dijaringkan Jalaluddin Jaafar menerusi sepakan penalti pada minit ke-46 selepas Azizul Kamaluddin dikasari Mohd. Rizal Roslan dalam kotak penalti.

Kegagalan Johor itu membolehkan Harimau Muda terus menjarakkan kedudukan dengan kelebihan sembilan mata selepas skuad bawah 19 negara itu menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 3-0 di Stadium Selayang.

Gol-gol Harimau Muda dijaringkan Yusaini Hafiz Che Saad (m-36), Ahmad Shakir Mohd. Ali (m-63) dan K. Gurusamy Govandar (m-72).

T. Team pula melepaskan peluang untuk memintas Johor di tangga kedua liga selepas hanya mampu seri 0-0 dengan Melaka di Stadium Hang Jebat.

Harimau Muda kini mengumpul 40 mata daripada 14 perlawanan diikuti Johor 31 mata (13 perlawanan) dan T. Team 29 mata.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0523&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5XvKKvNFs
© Utusan Melayu (M) Bhd