Ahad, 13 Mac 2016

‘Felda patut menang besar’

Oleh MUHD. ARDIE PUTRA SUHAIMI
 
PEMAIN Felda United, Muhamad Syahid Zaidon (kiri) cuba melepasi halangan pemain Pahang, D. Saavindran pada aksi Liga Super di Jengka malam kelmarin yang berkesudahan Felda menang 2-0.

“FELDA sepatutnya berpesta gol pada perlawanan malam tadi (kelmarin).”

Demikian pengakuan jurulatihnya, Irfan Bak­ti Abu Salim (gambar kecil) walupun beliau tetap berpuas hati de­ngan kemena­ngan 2-0 ke atas Pahang pada aksi Liga Super di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka kelmarin.

Kemenangan tersebut adalah yang pertama selepas tewas dua perlawanan berturut-turut sebelum ini, sekali gus membolehkan Felda Uni­­ted memintas Se­la­ngor untuk mengambil alih kedudukan selaku pendahulu liga dengan 12 mata selepas mengharungi lima perlawanan.

“Saya tetap berpuas hati de­ngan kemenangan yang dicatat ke atas Pahang semalam (kelmarin). Namun, saya agak terkilan ekoran barisan serangan gagal menggunakan sepenuhnya peluang yang terhidang kerana kita sepatutnya mampu menjaringkan empat atau lima gol.

“Namun, saya akui situasi ketika ini telah menaikkan kembali mo­­ral pasukan selepas kita dikecewakan oleh Johor Darul Takzim (Johor DT) dan tersingkir pada saingan Piala FA sebelum ini,” kata Irfan ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Pada perlawanan kelmarin, skuad yang dikenali sebagai The Figh­ters itu berjaya menjaringkan gol menerusi penyerang import sensasi, Francis Forkey Doe (m-35) dan jaringan sendiri oleh pertahanan Pahang, Nejc Potokar pada minit ke-80.

Sebagai rekod, perlawanan kelmarin merupakan yang terakhir buat pengendali Pahang, Ahmad Shaharuddin Rosdi yang telah menghantar surat peletakan ja­watannya pada 7 Mac lepas.

Mengulas aksi kelmarin, Irfan turut memuji barisan pemain Tok Gajah yang dilihat berjuang habis-habisan demi jurulatih (Shaharuddin) kerana ia adalah perlawanan terakhirnya, namun keputusan tidak menyebelahi mereka.

Dalam perkembangan sama, bekas pengendali Selangor itu turut gembira kerana saingan Liga Super akan ‘berehat’ seketika untuk memberi laluan kepada perlawanan antarabangsa sebelum dijadualkan bersambung semula pada awal bulan depan.

“Kedudukan kami sekarang cukup positif dan saya harap pemain dapat menggunakan cuti rehat selama tiga minggu ini untuk kembali cergas kerana kami turut mempunyai beberapa pemain yang masih belum pulih daripada kecederaan,” ujarnya lagi.

Untuk perlawanan seterus­nya, Felda yang pernah menjuarai Liga Premier 2010 akan menentang Terengganu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada 4 April depan.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0314&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz42q20MDiY Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan