Jumaat, 6 Mac 2015

Perak hanya seri, terlepas 
peluang kukuhkan cengkaman

SAYED HESHAM IDRIS   07 Mac 2015 1:28 AM
 PENJAGA gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat (kanan) menepis tandukan
PENJAGA gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat (kanan) menepis tandukan pemain Perak, Muhd. Nurridzuan Abu Hassan dalam perlawanan Liga Super di Stadium Perak, Ipoh semalam. – utusan/Zulkarnain Mohd. Saidin

IPOH – Perak melepaskan peluang untuk mendahului carta liga dengan kelebihan tiga mata apabila terikat tanpa jaringan dengan Kelantan dalam perlawanan tunggal Liga Super yang berlangsung semalam di Stadium Perak, Ipoh.
Namun satu mata yang diraih sudah mencukupi untuk skuad bimbingan Datuk M. Karathu menerajui carta liga untuk tempoh sekurang-kurangnya 24 jam apabila mengumpul lapan mata, satu mata di hadapan Felda United.
Keputusan semalam turut menyaksikan Kelantan mengumpul tujuh mata untuk melonjak ke anak tangga ketiga dari tempat kelima manakala PDRM keempat dengan enam mata.

Jangkaan perlawanan bakal berlangsung sengit tidak dapat disaksikan pada awal babak pertama apabila tidak banyak gerakan dan percubaan berjaya dilakukan oleh kedua-dua pasukan.
Kelantan terlebih dahulu mencemaskan pasukan tuan rumah seawal minit ketiga menerusi Erwin Albeiro Carillo yang hanya berdepan penjaga gol pasukan tuan rumah Zamir Selamat namun sepakannya dapat dibaca dan ditepis ke penjuru kanan.

Perak bangkit memberikan saingan seminit kemudian hasil hantaran jauh kepada Marco Tulio tetapi sepakannya tepat ke arah Khairul Fahmi Che Mat untuk mudah ditepis keluar oleh penjaga gol Kelantan itu.
Rentak permainan bertukar pantas selepas rehat ketika kedua-dua pasukan cuba memburu gol sehingga pasukan tuan rumah memasukkan Mohd. Haris Safwan Kamal menggantikan Tulio untuk memperkuatkan jentera serangan.
Namun kemasukan bekas pemain kebangsaan itu gagal memberikan impak sebaliknya pasukan pelawat lebih banyak melakukan asakan dan menguasai permainan.
Begitupun, Perak hampir diha­diahkan gol sendiri oleh pasukan pelawat pada minit ke-80 apabila Nik Mohd. Sharul Azim tertampan bola ke arah gol namun sempat ditepis kemas oleh Khairul Fahmi.
Perak cemas di hujung perlawanan namun Wan Zack Haikal menyaksikan rembat derasnya melepasi sedikit palang gol.

- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/perak-hanya-seri-terlepas-8232-peluang-kukuhkan-cengkaman-1.66729#sthash.Jagg9qz8.dpuf