14 Mac 2016 12:16 AM
Pemain Perak, Muhd Fikri Sudin (kiri) cuba mengasak penjaga gol TFC, Wan Muhammad Azraie dalam perlawanan Liga Super di Stadium Perak, Ipoh yang berkesudahan seri 0-0 semalam.Gambar: Kamal Basir Wahab / Wartawan Sayed Hesham / Kosmo Ayman Ghaffa
KUALA LUMPUR – Johor Darul Ta’zim (JDT) mengukuhkan kempennya mempertahankan gelaran juara Liga Super dengan menumpaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2-0 untuk merebut semula kedudukan teratas semalam.
Kemenangan itu membolehkan JDT mengumpul 13 mata selepas lima perlawanan, satu mata di hadapan Felda yang mendahului seketika persaingan selepas mereka menang 2-0 ke atas Pahang 24 jam sebelumnya.
Bagaimanapun, perlawanan di Stadium Hang Jebat, Melaka itu menyaksikan JDT terpaksa menanti hingga babak kedua perlawanan untuk memperoleh gol apabila ketua pasukan Mohd. Safiq Rahim menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-49 sebelum penyerang dari Argentina, Jorge Pereyra Diaz mengesahkan penguasaan Harimau Selatan pada minit ke-77.
Di Stadium Perak, pasukan tuan rumah terus buntu dalam usaha mencari kemenangan pertama liga apabila sekadar seri tanpa jaringan dengan Terengganu FC (TFC) semalam.
Ini merupakan keputusan seri keempat dialami Perak, yang turut tewas sekali selepas lima perlawanan.
Lebih menghampakan sepanjang lima perlawanan liga, Perak hanya mampu meledak satu gol iaitu ketika seri 1-1 dengan Pulau Pinang.
Barisan depan skuad Bos Gaurus perlu menyalahkan diri sendiri apabila gagal menyempurnakan deretan peluang gol dalam aksi semalam, bermula dengan rembatan deras Vokhid Sodhiev dari dalam kotak penalti pada minit ke-16 namun tersasar.
TFC juga hampir mencipta jaringan pada minit ke-20 hasil percubaan Konate Makan dari luar kotak penalti namun rembatannya terkena palang.
Mohd. Hafiz Ramdan hampir memecahkan kebuntuan gol seminit kemudian apabila tandukannya menewaskan penjaga gol TFC, Wan Muhammad Azraie namun bola tersasar.
Perak terus menguasai babak kedua dengan menggandakan percubaan ke gawang lawan namun dihampakan oleh ketangkasan Wan Muhammad Azraie untuk perlawanan berkesudahan seri tanpa jaringan.
- Sumber: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/jdt-rampas-semula-takhta-1.200387#sthash.Ly3bUtt9.dpuf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan