Oleh MUHD. ARDIE PUTRA SUHAIMI
WALAUPUN dikawal lima pemain pertahanan Sarawak, Ronaldinho tetap berjaya meloloskan diri untuk membantu Selangor menang bergaya 4-2 ke atas Bujang Senang pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam kelmarin.
KEJAYAAN merampas takhta pendahulu Liga Super buat pertama kali musim ini dianggap sebagai tonik terbaik oleh jurulatih Selangor, Zainal Abidin Hassan untuk memberi keyakinan kepada barisan pemain selain memastikan mereka berusaha lebih gigih perlawanan akan datang.
Skuad Gergasi Merah mudah membenam Sarawak 4-2 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam kelmarin, sekali gus memintas pendahulu sebelum ini, Felda United yang ditewaskan oleh juara bertahan, Johor Darul Takzim (Johor DT) di Stadium Tan Sri Datuk Hassan Yunos, Larkin.
“Para pemain telah menunjukkan kesungguhan dan komitmen yang cukup tinggi sejak awal saingan liga. Justeru, saya akui kami berhak untuk menduduki posisi di tangga teratas selain berharap ia akan memberi keyakinan kepada pemain untuk berusaha lebih gigih,” kata Zainal ketika ditemui sejurus tamat perlawanan kelmarin.
Pada saingan tersebut, pasukan tuan rumah dikejutkan dengan jaringan seawal minit ke-7 oleh pemain tengah Bujang Senang, Juninho de Souza sebelum pemain sayap, R. Gopinathan berjaya menghadiahkan gol penyamaan buat Gergasi Merah pada minit ke-25.
Kemudian, juara Piala Malaysia 2015 itu meneruskan rentak cemerlang apabila penyerang import yang dipinjam dari pasukan PKNS, Patrick Ronaldinho Wleh meledak dua gol (m-27 dan m-54) manakala pertahanan kontroversi, Mohd. Azrif Nasrulhaq menambah derita Sarawak pada minit ke-66.
Bagaimanapun, pasukan yang dipimpin oleh Datuk K. Rajagobal berjaya merapatkan kedudukan selepas menyempurnakan penalti hasil sepakan Gilmar Da Silva pada minit ke-74, namun kedudukan 4-2 kekal hingga tamat perlawanan.
Zainal yang berhijrah untuk melatih Selangor yang sebelum ini dikendalikan oleh jurulatih import, Mehmet Durakovic bermula musim ini enggan mendabik dada selain menafikan prestasi cemerlang Gergasi Merah disebabkan dirinya mempunyai ‘ramuan’ juara.
“Saya anggap kami masih mempunyai banyak kelemahan kerana sudah dua perlawanan kami dibolosi terlebih dahulu. Saya tidak mahu ini dijadikan tabiat oleh pemain khususnya barisan pertahanan tetapi saya puji kesungguhan pemain untuk bangkit dengan bergaya,” katanya.
Mengulas mengenai prestasi Patrick yang kini muncul sebagai penjaring terbanyak Liga Super dengan selepas mencetak 5 gol, pengendali berusia 55 tahun itu menjelaskan bahawa penyerang dari Liberia itu semakin serasi dengan rakan sepasukan sekali gus membolehkan barisan serangan mengatur gerakan dengan lebih kemas.
“Dia (Patrick) telah menjalankan tugas dengan baik dan begitu juga dengan Mauro (Olivi). Mereka adalah dua kombinasi yang berbahaya dan kini kita boleh lihat corak permainan khususnya di bahagian serangan semakin tersusun,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Zainal harap pemain mendapatkan rehat secukupnya dan mengalihkan tumpuan untuk dua perlawanan seterusnya iaitu menentang PDRM untuk saingan Piala FA esok dan kelab Singapura, Tampines Rovers sempena perlawanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) minggu depan.
“Meskipun kami mengharungi jadual perlawanan yang padat, saya mahu pemain fokus untuk dua perlawanan penting seterusnya (Piala FA dan Piala AFC) selain tidak terbuai dengan status pendahulu liga,” jelasnya lagi.
SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0303&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz41qJTbM8v Hakcipta terpelihara
Tiada ulasan:
Catat Ulasan