Selasa, 1 Mac 2016

The Fighters 
turun tanpa gentar

ZAZALI JAMIAN  |  01 Mac 2016 12:48 AM
KUALA LUMPUR – Pertembungan penuh memori di antara dua pasukan teratas Liga Super iaitu Felda United selaku pendahulu menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal menjadi aksi tumpuan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam ini.
Memori suku akhir Piala Malaysia musim lalu pasti membayangi perlawanan tersebut, yang me­nyaksikan The Fighters meleburkan rekod tanpa kalah JDT selama dua tahun di laman sendiri dengan keputusan 2-1.
Kapten Felda, Shukor Adan berkata, dia dan rakan-rakan sepasukan menaruh kepercayaan penuh kepada Ketua Jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim untuk merencanakan strategi terbaik bagi menghadapi juara Piala AFC.
“Sebagai ketua pasukan, saya mengharapkan rakan-rakan sepa­sukan beraksi tanpa tekanan.
“Tugas kita adalah bermain se­perti mana yang diarahkan jurulatih. Kami perlu sentiasa memperbaiki kelemahan dari masa ke semasa itu yang menjadi keutamaan.
“Sudah pasti jurulatih mempu­nyai perancangan sendiri, dan tugas kami sebagai pemain adalah memberikan aksi terbaik,” kata tonggak berpengalaman itu.
Dalam pada itu, Selangor yang akan beraksi di depan penyokong sendiri buat kali pertama musim ini turut menjadi tumpuan utama peminat bola sepak tempatan malam ini.
Red Giants, yang kini menduduki tangga ketiga dengan berkongsi tujuh mata bersama JDT dijadual menentang Sarawak di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.
Anak-anak buah Zainal Abidin Hassan tidak boleh keciciran mataseandainya mahu berada di tangga teratas liga minggu ini.
Bagaimanapun, Red Giants tidak boleh memandang mudah cabaran Sarawak kerana pasukan yang sedang bergelut dengan prestasi itu semasa mampu melakar kejutan.
Untuk rekod Sarawak yang ber­ada di bawah kendalian bekas jurulatih kebangsaan, Datuk K.Rajagopal belum mencatat sebarang kemenangan selepas tiga perlawanan.
Aksi lain yang turut menjadi tumpuan ialah naib juara Piala Malaysia, Kedah melayan kunjungan Kelantan di Stadium Darul Aman, manakala Pulau Pinang bertemu Perak di Stadium Bandaraya.
Terengganu pula berdepan PDRM di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah dan Pahang akan melayan kunjungan Terengganu di Stadium Darul Makmur.

- SUMBER: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/the-fighters-8232-turun-tanpa-gentar-1.195673#sthash.WSzMwoTD.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan