Rabu, 7 Jun 2017

Harga pindah Yusri RM1 - Syarat Perlis kepada MPPJ



ARKIB : 19/11/2005
Oleh: YUSRI SAHAT
YUSRI CHE LAH.

KANGAR - Selepas berlaku `perang mulut' antara Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) dengan pemain tonggaknya, Yusri Che Lah, pengurusan persatuan itu akhirnya melepaskan pemain tersebut kepada Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) dengan kos perpindahan sebanyak RM1.

Nilai yang amat rendah itu diletakkan kepada Yusri berikutan kekecewaan PFA terhadap kenyataan pemain terbabit yang menyifatkan persatuan tersebut cuba memusnahkan karier bola sepaknya apabila menuntut sebanyak RM100,000 daripada MPPJ.

Dengan nilai itu, Yusri hanya akan memperoleh 10 sen iaitu 10 peratus daripada kos perpindahan itu.

Presiden PFA, Datuk Seri Shahidan Kassim menegaskan, kos sebanyak RM1 itu merupakan syarat kepada MPPJ untuk mendapatkan khidmat pemain tersebut daripada PFA.

``Kita harap kes Yusri ini telah selesai dan dia bebas untuk bermain dengan MPPJ pada musim depan,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis menandatangani kontrak oleh Adrien Jurad Chamrong dengan Perlis selama setahun di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri semalam.

Pada 11 November lalu, Yusri melahirkan kekecewaan terhadap sikap PFA yang menetapkan bayaran pampasan sebanyak RM100,000 untuk memberi pelepasan kepadanya menyertai MPPJ bagi musim depan.

Menurut Yusri, tuntutan pampasan itu seolah-olah mahu menamatkan kariernya dalam sukan bola sepak kerana dilihat sebagai penghalang untuk berhijrah.

Sebelum itu, PFA membidaskan sikap tidak profesional MPPJ yang cuba `memancing' dua tonggak Singa Utara tanpa merujuk kepada pengurusan persatuan itu.

Shahidan yang juga Menteri Besar Perlis bagaimanapun memberitahu, Perlis masih mengekalkan tuntutan sebanyak RM300,000 kepada MPPJ jika mahukan khidmat Mohd. Kaironnisam Shahabuddin.

Ini kerana, jelasnya, bekas kapten Perlis tidak mengeluarkan sebarang kenyataan mengguris perasaan persatuan tersebut yang telah banyak melabur untuk menjadikannya seorang `bintang'.

``Kita difahamkan MPPJ setuju membayar pampasan itu tetapi jumlahnya masih dirundingkan,'' katanya.

Menurutnya, wang pampasan itu akan dilaburkan bagi membeli lot-lot tanah untuk dihadiahkan kepada pemain Perlis jika berjaya merampas kembali Piala Malaysia musim depan.

Dalam pada itu, tambah Shahidan, Perlis mungkin akan melantik Adrien sebagai ketua pasukan berdasarkan pengalaman yang dimilikinya.

``Adrien Jurad telah berjanji untuk memperbaiki kelemahannya apabila menyarung kembali jersi Perlis pada musim depan,'' tambahnya.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1119&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4jKEXu3V1
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan