ARKIB : 01/01/2006
Pemain Perak, Wirat Nom (kanan)
berusaha merebut bola dari pemain MPPJ, Tengku Hazman Raja Hassan dalam aksi
bola sepak Liga Super di Stadium Perak, Ipoh semalam. Kelab dari Selangor itu
menang 2-1. - Gambar HANAFI KHAMIS.
KUALA LUMPUR - Pemain
kebangsaan, Liew Kit Kong menjaringkan gol kemenangan untuk MPPJ Selangor
mengekalkan rekod tanpa kalah sekali gus melebarkan kedudukan di tangga teratas
bola sepak Liga Super selepas menewaskan Perak 2-1 di Stadium Perak, Ipoh,
semalam.
Pertembungan antara dua pasukan
teratas itu yang menjadi aksi tumpuan semalam bagaimanapun dicemari insiden
tegang pada minit ke-77 yang menyaksikan ketua pasukan Perak, Ahmad Shahrul
Azhar Sofian dibuang padang kerana membantah keputusan pengadil.
Ahmad Shahrul naik berang dan
menyerbu pengadil perlawanan, Manjit Singh sebelum jurulatih Perak, Steve Darby
meluru masuk menenangkan ketua pasukan itu.
Insiden itu juga mencetuskan
berang penonton yang menyaksikan pembantu pengadil, Zulfikar Abdullah terbaring
di padang selepas terkena objek yang dibaling dari luar padang.
Perlawanan juga terhenti
kira-kira enam minit.
Sebelum perlawanan itu,
kedua-dua pasukan hanya dipisahkan dengan satu mata di tangga atas.
Kemenangan itu membolehkan MPPJ
mengutip 13 mata daripada lima perlawanan.
MPPJ membuka jaringan ketika
aksi baru berusia 16 saat menerusi Ben Katanha yang menanduk masuk hantaran
lintang Kit Kong.
Begitupun, Perak yang menerima
sokongan padu 25,000 penyokong sendiri, menyamakan kedudukan setengah jam
kemudian juga menerusi tandukan hasil hantaran lintang Wiratnam.
Namun Kit Kong menggembirakan
kem skuad `Chelsea Malaysia' itu dengan tandukan ke gawang minit ke-57 hasil
tendangan bebas Rachid Zmama.
Di Stadium Darul Makmur di
Kuantan, Pahang tumpas buat kali keempat berturut-turut dan terus menghuni
tangga tercorot liga apabila pasukan bertaraf kelab, Telekom Melaka membenam
Tok Gajah 2-1.
Pasukan pelawat memperoleh gol
sulong menerusi tandukan Zainuddin Mohd. Ariffin pada minit ke-45.
Tok Gajah menyamakan kedudukan
apabila pemain tengah, Mohd. Zulkiffli Mohd. Yusof dijatuhkan di dalam kotak
penalti pada separuh masa kedua.
Rosdi Talib menyempurnakan
sepakan penalti pada minit ke-74.
Telekom Melaka memperoleh gol
kemenangan menerusi pemain import, Chaswe Nsofwa yang menanduk masuk gol minit
ke-83.
Juara tiga piala musim lalu,
Selangor terus dirundung malang apabila tumpas lagi, kali ini kepada Negeri
Sembilan 2-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.
Dua gol dalam tempoh dua minit
masing-masing menerusi Idris Karim (62) dan pemain import dari Nigeria, Bassey
Richard melonjakkan skuad Rusa ke tangga kedua, memintas Perak.
Di Stadium Utama, Kangar,
pasukan tuan rumah, Perlis memperbaiki kedudukan untuk merapati pasukan teratas
dengan kemenangan tipis 1-0 ke atas Pulau Pinang.
Gol tunggal perlawanan
dijaringkan oleh oleh Philimon Chipeta pada minit ke-50.
Sementara itu dalam aksi Liga
Perdana, Kedah menerajui carta Kumpulan A untuk tempoh sekurang-kurangnya
sehari selepas menewaskan Johor 3-0 di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunus di
Larkin, Johor Bahru.
Kedah di tangga teratas dengan
10 mata, dua mata di depan Sarawak di tangga kedua.
Bagaimanapun, Sarawak mungkin
akan merampas kembali kedudukan itu apabila melayan kunjungan Kelantan di
Kuching hari ini.
Johor pula di tangga ketiga.
Pemain import Kedah dari
Thailand, Saramsak Kram menjaringkan gol pada awal permainan untuk meletakkan
skuad Kenari di depan pada minit keenam sebelum seorang lagi import, Marcos
Magno menambah jaringan kedua minit ke-31 sebelum melengkapkan kemenangan
bergaya Kedah dengan jaringan keduanya minit ke-70.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0101&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4jWuZDaFS
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan