Jumaat, 2 Jun 2017

Lagu `Juara' hangatkan Liga Malaysia



ARKIB : 23/08/2005

KUALA LUMPUR - Lagu `Juara' yang diubah suai daripada lagu Aladdin dendangan kumpulan popular, Spider semakin mendapat perhatian peminat bola sepak tempatan sempena persaingan Piala Malaysia ketika ini.

Lagu berkenaan yang menghiasi sebuah klip video oleh Telekom Malaysia Berhad (TM) mampu menghangatkan semula demam dan sambutan peminat sekali gus mengembalikan Malaysia ke mercu kegemilangan sukan itu.

Turut menghiasi klip video TM itu ialah aksi menarik bola sepak negara selain kemunculan selebriti seperti Dollah Salleh, Serbegeth Singh, Rosyam Nor, Halim Othman, Arianna Teoh, Azura dan Kenneth Low.

Lagu dan klip itu diilhamkan daripada lagu `Cup of Life' nyanyian Ricky Martin sempena Piala Dunia 1998 dengan adunan muzik popular dan lirik yang mudah diingati.

Naib Presiden Kanan Kumpulan Pemasaran TM, Randhir Singh Nanra berkata, klip yang disiarkan sepanjang tahun ini juga bakal digunakan dalam perlawanan selain Liga Malaysia bagi menyemarakkan sokongan kepada pasukan kebangsaan.

Sebagai penaja liga, TM juga akan mengadakan aktiviti sampingan untuk memeriahkannya dan mendekatkan bola sepak tempatan dengan orang ramai seperti peraduan `Count The Ball' dan `Cheerleading Competition'.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0823&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4isAdnDpQ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan