Isnin, 5 Jun 2017

Kecergasan jadi syarat



ARKIB : 27/10/2005

PETALING JAYA - Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mewajibkan semua pemain yang akan bermain dalam kempen Liga Malaysia musim depan lulus ujian kecergasan (cooper test).

Naib Presiden FAM, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar berkata, mana-mana pemain yang gagal cooper test tidak akan dibenarkan bermain dalam Liga Malaysia.

``Mereka yang gagal cooper test tidak akan mendapat lesen pemain, justeru mereka tidak boleh bermain.

``Bagaimanapun ujian ini tidak dikenakan ke atas pemain yang telah ada kontrak dengan sesuatu pasukan tetapi tercedera,'' katanya.

Raja Ahmad berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.

Begitupun, Raja Ahmad yang juga pengerusi jawatankuasa berkenaan berkata, pemain yang gagal pada ujian pertama boleh menjalani ujian itu sekali lagi pada April.

``Jadi kami nasihatkan kepada pasukan-pasukan Liga Malaysia supaya tidak mengambil pemain yang cedera,'' katanya.

Raja Ahmad menambah, FAM juga telah mengubah tarikh tutup pendaftaran pemain bagi semua kategori atau peringkat pertandingan daripada tarikh asal 11 November kepada 18 November ini.

Jawatankuasa itu juga telah mengambil keputusan untuk melakukan ujian doping ke atas pemain secara rambang pada bila-bila masa bermula pada perlawanan Sumbangsih yang berlangsung 3 Disember ini.

``Sebelum ini kita hanya lakukan doping pada perlawanan akhir Piala Malaysia tetapi bermula musim depan, kita akan adakan doping setiap masa dan di setiap peringkat pertandingan,'' kata Raja Ahmad.

Dalam pada itu mesyuarat berkenaan juga menetapkan undian dan taklimat Liga Malaysia dibuat pada 13 November ini di Dewan Undangan Negeri Selangor

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1027&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4jAkChyD4
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan