Khamis, 8 Jun 2017

MPPJ peneraju baru



 
ARKIB : 18/12/2005
PENYERANG Selangor, Mohd. Amri Yahyah (kanan) bersaing merebut bola dengan pemain MPPJ, K. Nanthakumar pada perlawanan bola sepak Liga Super di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam. MPPJ menang 2-1. - Gambar ASWAD YAHYA.

KUALA LUMPUR - Pasukan yang digelar Chelsea Malaysia, MPPJ Selangor melonjak ke tangga teratas bola sepak Liga Super selepas menumbangkan Selangor 2-1 dalam aksi di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam.

Penyerang dari Argentina, Juan Manuel Arostegui yang kembali ke MPPJ, menjaringkan kedua-dua gol pasukan itu.

Gol tunggal Selangor dijaringkan oleh Brian Fuentes.

MPPJ memintas pendahulu sebelum ini, Perak yang tewas mengejut 1-0 kepada Telekom Melaka di Stadium Perak di Ipoh.

MPPJ mengumpul tujuh mata selepas tiga perlawanan, berkongsi mata dengan Telekom Melaka di tangga kedua.

Perak di tangga ketiga dengan enam mata, turut berkongsi mata dengan Negeri Sembilan yang menang 2-0 ke atas Pulau Pinang E&O di Paroi.

Sementara itu, perlawanan antara Perlis dengan Pahang ditunda kerana padang di Stadium Utama, Kangar ditakungi air akibat hujan lebat.

Dalam aksi di Bukit Jalil, MPPJ tampak gelisah apabila penjaga gol utamanya, Azmin Azram Aziz terpaksa dikeluarkan pada minit ke-15 selepas berlaga dengan penyerang Selangor, Amri Yahyah.

Selangor mengambil kesempatan itu untuk membuka tirai jaringan awal menerusi Fuentes yang mudah menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-24.

Pengadil perlawanan, Rosli Shahrul memberikan sepakan penalti itu selepas Bambang Pamungkas dijatuhkan oleh Fauzi Nan.

Namun MPPJ tidak hilang rentak dan berjaya menyamakan kedudukan seminit sebelum rehat menerusi sepakan percuma Arostegui dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol muda Selangor, Syed Adley Syed Hussain.

MPPJ semakin garang pada babak kedua dan Arostegui sekali menemui sentuhan di depan gawang dengan menanduk masuk gol kedua MPPJ pada minit ke-60.

Di Stadium Perak, Ipoh, rembatan pemain import Telekom Melaka, Chaswe Nfoswa pada minit ke-51 memberikan kemenangan mengejut Telekom ke atas tuan rumah yang juga pendahulu liga sebelum ini, Perak.

Nfoswa merembat dari jarak 30 meter menewaskan penjaga gol lawan, Mohd. Nasril Nourdin untuk mencalar rekod baik Perak sebelum ini.

Begitupun, kemenangan itu terpaksa dibayar dengan harga yang tinggi oleh Telekom Melaka apabila Nfoswa dibuang padang pada minit ke-59 selepas menerima kad kuning kedua kerana membantah keputusan pengadil.

Pemain itu sebelum ini dilayangkan kad kuning pertama oleh pengadil, M. Katheresan kerana bertelagah dengan pemain Perak, V. Thirumurugam.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi, Khairul Anuar Baharom dan Christian Bekamenga masing-masing menjaringkan gol pada minit ke-50 dan 70 untuk membantu Negeri Sembilan mengatasi Pulau Pinang 2-0.

Skuad Rusa juga melonjak ke tangga keempat di belakang Perak dan memintas Selangor.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1218&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4jSXIRC00
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan