Sabtu, 10 Jun 2017

MPPJ menang dalam aksi kecoh


ARKIB : 01/01/2006
Pemain Perak, Wirat Nom (kanan) berusaha merebut bola dari pemain MPPJ, Tengku Hazman Raja Hassan dalam aksi bola sepak Liga Super di Stadium Perak, Ipoh semalam. Kelab dari Selangor itu menang 2-1. - Gambar HANAFI KHAMIS.

KUALA LUMPUR - Pemain kebangsaan, Liew Kit Kong menjaringkan gol kemenangan untuk MPPJ Selangor mengekalkan rekod tanpa kalah sekali gus melebarkan kedudukan di tangga teratas bola sepak Liga Super selepas menewaskan Perak 2-1 di Stadium Perak, Ipoh, semalam.

Pertembungan antara dua pasukan teratas itu yang menjadi aksi tumpuan semalam bagaimanapun dicemari insiden tegang pada minit ke-77 yang menyaksikan ketua pasukan Perak, Ahmad Shahrul Azhar Sofian dibuang padang kerana membantah keputusan pengadil.

Ahmad Shahrul naik berang dan menyerbu pengadil perlawanan, Manjit Singh sebelum jurulatih Perak, Steve Darby meluru masuk menenangkan ketua pasukan itu.

Insiden itu juga mencetuskan berang penonton yang menyaksikan pembantu pengadil, Zulfikar Abdullah terbaring di padang selepas terkena objek yang dibaling dari luar padang.

Perlawanan juga terhenti kira-kira enam minit.

Sebelum perlawanan itu, kedua-dua pasukan hanya dipisahkan dengan satu mata di tangga atas.

Kemenangan itu membolehkan MPPJ mengutip 13 mata daripada lima perlawanan.

MPPJ membuka jaringan ketika aksi baru berusia 16 saat menerusi Ben Katanha yang menanduk masuk hantaran lintang Kit Kong.

Begitupun, Perak yang menerima sokongan padu 25,000 penyokong sendiri, menyamakan kedudukan setengah jam kemudian juga menerusi tandukan hasil hantaran lintang Wiratnam.

Namun Kit Kong menggembirakan kem skuad `Chelsea Malaysia' itu dengan tandukan ke gawang minit ke-57 hasil tendangan bebas Rachid Zmama.

Di Stadium Darul Makmur di Kuantan, Pahang tumpas buat kali keempat berturut-turut dan terus menghuni tangga tercorot liga apabila pasukan bertaraf kelab, Telekom Melaka membenam Tok Gajah 2-1.

Pasukan pelawat memperoleh gol sulong menerusi tandukan Zainuddin Mohd. Ariffin pada minit ke-45.

Tok Gajah menyamakan kedudukan apabila pemain tengah, Mohd. Zulkiffli Mohd. Yusof dijatuhkan di dalam kotak penalti pada separuh masa kedua.

Rosdi Talib menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-74.

Telekom Melaka memperoleh gol kemenangan menerusi pemain import, Chaswe Nsofwa yang menanduk masuk gol minit ke-83.

Juara tiga piala musim lalu, Selangor terus dirundung malang apabila tumpas lagi, kali ini kepada Negeri Sembilan 2-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Dua gol dalam tempoh dua minit masing-masing menerusi Idris Karim (62) dan pemain import dari Nigeria, Bassey Richard melonjakkan skuad Rusa ke tangga kedua, memintas Perak.

Di Stadium Utama, Kangar, pasukan tuan rumah, Perlis memperbaiki kedudukan untuk merapati pasukan teratas dengan kemenangan tipis 1-0 ke atas Pulau Pinang.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh oleh Philimon Chipeta pada minit ke-50.

Sementara itu dalam aksi Liga Perdana, Kedah menerajui carta Kumpulan A untuk tempoh sekurang-kurangnya sehari selepas menewaskan Johor 3-0 di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunus di Larkin, Johor Bahru.

Kedah di tangga teratas dengan 10 mata, dua mata di depan Sarawak di tangga kedua.

Bagaimanapun, Sarawak mungkin akan merampas kembali kedudukan itu apabila melayan kunjungan Kelantan di Kuching hari ini.

Johor pula di tangga ketiga.

Pemain import Kedah dari Thailand, Saramsak Kram menjaringkan gol pada awal permainan untuk meletakkan skuad Kenari di depan pada minit keenam sebelum seorang lagi import, Marcos Magno menambah jaringan kedua minit ke-31 sebelum melengkapkan kemenangan bergaya Kedah dengan jaringan keduanya minit ke-70.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0101&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4jWuZDaFS
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan