ARKIB : 19/12/2005
KUALA LUMPUR - Dua kelab
kerdil, MPPJ dan Telekom kian menunjukkan peningkatan untuk menduduki dua
tangga teratas kedudukan Liga Super selepas mengharungi tiga perlawanan setakat
ini.
Kebangkitan mendadak dua kelab
tersebut melihat beberapa pasukan gergasi seperti Pahang, Perlis, Selangor dan
Pulau Pinang masih tercari-cari rentak.
Keupayaan MPPJ yang mendapat
jolokan `Chelsea Malaysia' mengejutkan juara Piala Malaysia musim lalu,
Selangor dengan kemenangan 2-1 memastikan kelab itu berada di tangga terasa
persada liga dengan tujuh mata.
Dua gol menerusi penjaring
terbanyak 2003, Juan Manuel Arostegui membuatkan Merah Kuning menjadi `merah
padam' dan terpaksa akur dengan dua kekalahan setakat ini.
Begitu juga dengan Telekom
turut cemerlang memadamkan rekod bersih Perak dengan kemenangan tipis 1-0 di
tempat lawan.
Kemenangan penting buat
jurulatih Telekom, Irfan Bakti untuk berkongsi tujuh mata tetapi dipisahkan
kelebihan jaringan yang menjadi milik MPPJ untuk berada di tangga teratas liga.
Kedua-dua kelab tersebut kian
mencuri perhatian apa lagi kelibat MPPJ yang memiliki kesebelasan utama
berstatus bintang jelas lebih menyerlah membenam Selangor.
Pertembungan Pahang dan Perlis
pula terpaksa ditangguhkan akibat hujan lebat ketika kedua-dua pasukan masih
terkial-kial memburu kemenangan pertama.
Mengekori dua kelab tersebut
ialah Perak yang kini berada di tangga ketiga diikuti oleh Negeri Sembilan,
Selangor, Pulau Pinang E&O, Perlis dan Pahang.
Negeri Sembilan lega meraih
tiga mata penuh apabila membenam Pulau Pinang E&O 2-0 selepas mereka
menerima kejutan tunduk 0-3 kepada MPPJ minggu lalu.
Malam esok bakal menyaksikan
pertembungan sengit apabila MPPJ menanti kunjungan steru utama Perlis, di
Stadium Petaling Jaya.
Pertembungan dua pasukan itu
mencuri tumpuan dengan dendam membara Perlis terhadap MPPJ yang mencuri dua
pemain utama Yusri Che Lah dan Mohd. Kaironnisam Shahabudin musim ini.
MPPJ pastinya tidak merelakan
rekod tanpa kalah mereka dicalarkan oleh Perlis begitu juga skuad Singa Utara
yang masih belum memahat sebarang kemenangan setakat ini.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1219&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4jSYuK1lm
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan