Jumaat, 9 Jun 2017

MPPJ perkuatkan cengkaman



ARKIB : 21/12/2005
PEMAIN MPPJ, Liew Kit Kong (kiri) terjatuh selepas dibentes oleh pemain Perlis, Mohd. Nazaruddin Mohd. Zain sewaktu aksi perlawanan bola sepak Liga Super di Stadium Petaling Jaya, Kelana Jaya semalam. MPPJ menang 3-1. - Gambar HALIM KHALID.

PETALING JAYA - MPPJ terus menguatkan cengkaman selaku peneraju carta bola sepak Liga Super selepas menumpaskan Perlis 3-1 pada perlawanan di Stadium Petaling Jaya manakala pesaing terdekatnya, Telekom Melaka kecundang, semalam.

Tempat kedua sebelum ini milik Telekom Melaka yang tewas 0-1 kepada Negeri Sembilan di Stadium Hang Jebat, dirampas oleh Perak yang menghampakan Pahang 2-0 di Stadium Darul Makmur, Kuantan.

MPPJ kini mengumpul 10 mata, mengatasi Perak dan Negeri Sembilan yang masing-masing terikat dengan sembilan mata tetapi dipisahkan oleh 10 jaringan milik skuad Seladang berbanding empat.

MPPJ yang musim ini digelar `Chelsea Malaysia' kerana berbelanja besar mendapatkan khidmat pemain bintang, memperoleh golnya menerusi Ben Katanha (dua) dan Carlos Alberto.

Katanha yang menggantikan penyerang utama, Juan Manuel Arostegui yang tercedera, menyumbat gol pada minit ke-17 dan 71 selain Alberto (84) tetapi dirapatkan oleh juara bertahan Liga Super menerusi Phillemon Chepita, minit ke-56.

Perak pula meraih tiga mata angkara aksi lesu Pahang yang kecundang kali ketiga berturut-turut menerusi dua jaringan penyerang import pelawat, Keita Mandjou, masing-masing pada minit ke-45 dan 89.

Walaupun memperoleh peluang terbuka menjaringkan gol pada minit ke-44 menerusi hantaran Azizul Kamaluddin, Indra Putra Mahayuddin mensia-siakannya menerusi tandukan yang tersasar dari pintu gol.

Indra Putra sekali lagi gagal menyempurnakan sepakan lintang daripada Iyowuna Edward apabila tandukannya terkena palang gol pada minit ke-58.

Gawang Pahang sekali lagi bolos dengan gol kedua Mandjou hasil tandukannya yang yang menewaskan penjaga gol, Mohd. Iqbal Suhimi, seminit sebelum wisel penamat.

Negeri Sembilan yang melangkah kali pertama ke Liga Super pula mengejutkan tuan rumah hasil tandukan Idris Karim pada minit ke-42 yang menyudahi hantaran Che Hishamuddin Che Hassan.

Di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang E&O memperbaiki kedudukannya dengan tiga mata hasil kejayaan membenam juara tiga piala musim lalu, Selangor 3-1.

Tuan rumah beroleh golnya menerusi Rosli Azizan pada minit ke-22, Mario Cesar Da Sailva (30) dan jaringan sendiri benteng Selangor, Ahmad Tharmini Saiban, seminit kemudian.

Pelawat yang mengumpul Piala Liga Perdana, Piala FA dan Piala Malaysia musim lalu, bagaimanapun merapatkan jurang gol menerusi Mohd. Amri Yahyah pada minit ke-71.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=1221&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4jVoGFYZT
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan