Ahad, 7 Mei 2017

Debaran bermula malam ini



ARKIB : 29/01/2005

Oleh: AMRAN MULUP

ABDUL RAHMAN IBRAHIM (kanan) memperkatakan sesuatu kepada anak buahnya semasa latihan persiapan menentang Perak dalam Piala Sumbangsih di Stadium Utama Kangar, semalam. - Gambar NIDZUWAN ZAINAL ABIDIN.

KUALA LUMPUR - Malam ini tirai edisi kedua Liga Super Malaysia musim 2005 akan bermula menandakan kempen bola sepak Liga Malaysia yang lebih mencabar dan bertenaga untuk ditempuhi oleh lapan pasukan terbaik.

Lebih menarik, pertemuan juara Piala Malaysia musim lalu, Perlis dengan juara Piala FA, Perak di Stadium Utama, Kangar menjadi tumpuan untuk menentukan siapakah paling gagah dalam perlawanan Sumbangsih untuk merangkul gelaran pertama musim ini bagi menjulang Piala Sultan Ahmad Shah.

Reputasi kedua-dua pasukan tidak mampu disanggah berdasarkan kejayaan yang dirintis musim lalu, namun kempen bermula malam ini lebih menjadi penentu siapa yang lebih unggul.

Perlis masih segar dengan gelaran selaku juara Piala Malaysia selepas 83 tahun menunggu, kali ini berpeluang menambah koleksi mendakap gelaran pertama kempen musim ini.

Bezanya, kali ini skuad Singa Utara tidak diterajui oleh jurulatihnya, Norizan Bakar yang berhijrah menggalas cabaran skuad Pulau Pinang.

Malah pemain berpengalaman seperti Tengku Hazman Raja Hassan dan Mohd. Faisal Esahar turut mengikut jejak langkah Norizan ke Pulau Pinang manakala pemain importnya, Joao Bandoch tidak disenaraikan kali ini.

Begitupun, kehadiran jurulatih Abdul Rahman Ibrahim sedikit sebanyak mampu menyuntik ngauman Singa Utara dalam usaha untuk mempertahankan gelaran yang didakap musim lalu.

Buat Perak, tanpa gandingan penyerang berkaliber, Muhammad Khalid Jamlus, V. Saravanan, Liew Kit Kong yang berhijrah ke pasukan lain, menjadi persoalan kemampuan sebenar mereka.

Skuad Seladang masih mempertaruhkan sentuhan jurulatih Toni Netto mengadunkan gandingan baru Mohd. Rafdi Rashid, Wirat Nom, V. Thirumurugan dan Mohd. Nor Ismail untuk menggegar Perlis malam ini.

Perlawanan lain yang turut menjadi tumpuan ialah juara Liga Super pertama, Pahang menanti kunjungan bekas juara Piala Malaysia 2003, MPPJ di Stadium Darul Makmur.

Selain itu, dua lagi pertemuan yang tidak kurang hebatnya ialah Public Bank menanti kunjungan Melaka Telekom di Stadium Shah Alam dan Pulau Pinang pula menunggu Sabah di Stadium Bandaraya.

Pertemuan Pahang-MPPJ dianggap sengit apa lagi memperlihatkan barisan skuad Tok Gajah lebih gagah berbanding MPPJ.

Andunan jurulatih Zainal Abidin Hassan memiliki pemain terbilang seperti Rosdi Talib, Norhafiz Zamani Misbah, Hairuddin Omar, Indra Putra Mahayuddin, Azizul Kamaluddin dan Mohd. Fadzli Saari membuktikan kehebatan skuad Pahang kali ini.

Bagi MPPJ yang kehilangan jurulatih berpengalaman, Dollah Salleh yang berhijrah ke Selangor, kehadiran Reduan Abdullah mampu menyuntik kehebatan pasukan itu.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0129&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4gNklSDov
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan