ARKIB : 25/05/2005
KUALA LUMPUR - Walaupun Liga M
sudah lama berlangsung, namun keupayaannya dalam menghasilkan pemain bola sepak
tempatan yang menyerlah dan disegani lawan pada posisi serangan, nampaknya
masih jauh ketinggalan.
Bekas pemain kebangsaan,
Santokh Singh ketika ditemui di Stadium Shah Alam semasa menyaksikan perlawanan
antara pilihan Selangor dan pilihan Singapura dalam kejohanan Piala Sultan
Selangor baru-baru ini berkata, penyerang tempatan perlu melipatgandakan usaha
sekiranya mereka ingin bersaing dengan pemain import.
``Kebanyakan penyerang kita
kekurangan naluri pemusnah semasa berada di hadapan pintu gol. Saya sudah
saksikan perlawanan-perlawanan liga dan dapati kebanyakan pasukan mengharapkan
pemain import untuk membuahkan sebarang hasil,'' kata Santokh yang merupakan
pemain pasukan Veteran Selangor.
Penyerang Pahang, Indra Putra
Mahayuddin yang menjaringkan sembilan gol dan berada di tempat keempat senarai
penjaring terbanyak pada masa ini, adalah antara pemain tempatan yang berada di
kalangan 11 penjaring terbanyak dalam Liga Super.
Pemain import Sabah, Julio
Rodriguez adalah penjaring terbanyak pada masa ini dengan 14 gol, diikuti
import Pahang, Bernard Tchoutang dan Zachariah Simikonda (Perlis),
masing-masing dengan 12 gol.
Statistik Liga Premier nampak
lebih baik dengan dua penyerang tempatan berada antara 10 penjaring terbanyak.
Rudie Ramli dari Selangor PKNS
berada di tempat ke-lima dengan 11 gol, manakala Khalid Jamlus dari Selangor di
tempat lapan dengan tujuh gol.
Pemain import Selangor, Bambang
Pamungkas adalah penjaring terbanyak dengan 18 gol, manakala pemain MK Land,
Marlon Alex James di tempat kedua dengan 17 gol.
Santokh turut menamakan
bekas-bekas pemain seperti Allahyarham Mokhtar Dahari, Hassan Sani, Isa Bakar,
Ghani Minhat dan pemain Singapura Fandi Ahmad sebagai contoh penyerang tempatan
yang handal pada suatu ketika dahulu.
``Mereka bukan hanya berbahaya
di dalam kawasan kotak penalti, malah mereka boleh menemui sasaran semasa
berada di luar kotak penalti,'' katanya. - Bernama
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0525&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4iYHqXK7h
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan