Isnin, 29 Mei 2017

Debaran Perdana kian terasa



ARKIB : 06/05/2005 
Oleh AMRAN MULUP
Penyerang Kedah, Akmal Rizal Ahmad Rakhli (depan) berusaha melepasi kawalan salah seorang pemain pertahanan Kuala Lumpur dalam aksi Kumpulan A, Liga Perdana di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras kelmarin yang berkesudahan seri 1-1. - Gambar Nazudeen Mahmud.


KUALA LUMPUR - Baki dua perlawanan untuk menamatkan aksi pusingan kedua sampai ke penghujung, menyaksikan persaingan merebut dua gelaran juara Liga Perdana Kumpulan A dan B semakin mendebarkan.

Ketika tumpuan pada mulanya diberikan kepada Selangor, Kedah, Kuala Lumpur, Terengganu dan Negeri Sembilan, dua pasukan berstatus kelab MK Land dan PKNS kian mencerahkan peluang untuk merebut gelaran juara liga.

Kedua-dua pasukan itu terus mencuri perhatian apabila masing-masing menduduki dua kedudukan teratas kumpulan tersebut.

MK Land yang merampas tampuk sebagai pendahulu Kumpulan A daripada Selangor Ahad lalu, terus kekal dengan kelebihan satu mata walaupun terpaksa berhempas pulas menewaskan Melaka 1-0.

Kemenangan tipis hasil jaringan penyerangnya Marlon Alex James pada minit ke-46, memastikan MK Land memungut 29 mata.

Mengekori rapat ialah Selangor yang tewas 1-4 kepada Kedah Ahad lalu, bangkit melaungkan amaran apabila membelasah NTFA 5-1 di tempat lawan.

Dua gol masing-masing menerusi Muhammad Khalid Jamlus (m-14, m-85), Bambang Pamungkas (m-87, m-89) dan Brian Fuentes (m-44), memastikan Selangor terus kekal di tangga kedua dengan 28 mata.

Kemenangan milik skuad Merah Kuning memastikan mereka tidak ketinggalan jauh daripada MK Land dalam usaha untuk merampas kembali takhta Kumpulan A.

Bagaimanapun, Kedah gagal meneruskan aksi cemerlang apabila sekadar seri 1-1 dengan Kuala Lumpur untuk kekal di tangga ketiga.

Peluang terhidang baik buat Kedah membuka tirai jaringan pertama menerusi Gabriel Mendez (m-35) tetapi kealpaan benteng pertahanan membolehkan Muhammad Zamri Hassan menyamakan kedudukan 1-1, ketika baki perlawanan 11 minit hendak ditamatkan.

Bagaimanapun, Kedah menjadi satu-satunya pasukan yang masih mengekalkan rekod bersih tanpa kalah selepas melalui 12 perlawanan setakat ini dan berada di tangga ketiga dengan 26 mata.

Sementara itu Kuala Lumpur berada di tempat keempat diikuti oleh Brunei (5), NTFA (6), Melaka (7) dan TNB (8).

Sementara itu dalam Kumpulan B pula, Terengganu kembali merampas kedudukan teratas selepas menewaskan Negeri Sembilan 2-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi.

Tidak sampai seminggu Negeri Sembilan merampas tampuk itu daripada Terengganu, ledakkan jaringan Zairo Anuar Zailani (m-18) dan Dos Santos (m-60) sudah cukup mengembalikan skuad Penyu di persada teratas.

Kekalahan Negeri Sembilan di tempat sendiri membolehkan PKNS berada di tangga kedua liga selepas memahatkan kemenangan ketujuh berturut-turut menewaskan Johor 4-2.

Persembahan cemerlang PKNS jelas memberi tekanan kepada skuad Penyu dan Negeri Sembilan dengan baki dua perlawanan menamatkan saingan pusingan kedua.

PKNS ketinggalan hanya tiga mata berbanding Terengganu selaku pendahulu Kumpulan B manakala Negeri Sembilan pula di tangga ketiga dengan memungut 22 mata.

Buat Johor FC, Sarawak, Jenderata, Johor dan PDRM masing-masing sekadar mempertahankan kedudukan untuk mengelak daripada terjerumus ke Piala FAM musim depan.

PDRM yang sekadar memungut dua mata daripada 12 perlawanan menduduki tangga terbawah, kian hampir disingkirkan musim depan.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0506&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4iSt1CfgZ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan