Jumaat, 29 Julai 2016

Olimpik 2000 menanti kunjungan Brunei

ARKIB : 03/04/1998
SELEPAS menyingkirkan Johor, kini skuad Olimpik 2000 mengidam mahu meneruskan persembahan cemerlang apabila menanti kunjungan Brunei dalam kempen pertama Perdana Satu di Stadium Merdeka malam esok, lapor AMRAN MULUP.

Berbekalkan kejayaan di pusingan kelayakan, Olimpik mahu memahatkan satu lagi episod paling menarik dengan memburu kemenangan pertama ke atas Brunei.

Walaupun menghormati lawan yang memiliki segala kelebihan, ini tidak bermakna pelawat bakal memperolehi kemenangan mudah membawa pulang tiga mata penuh.

Berdasarkan prestasi ketika mengharungi pusingan kelayakan Hatem Souissi membayangkan anak buahnya mampu mengimbangi setiap kekuatan yang ada pada Brunei.

Hatem jelas tidak membayangkan rasa gusar kelibat anak didiknya bakal menjadi mangsa buruan Brunei yang mengidam mahu memahat kemenangan awal.

''Brunei sebuah pasukan yang kuat dan memiliki segala kelebihan tetapi ini tidak bermakna laluan mudah bakal dilalui.

''Lagipun pemain saya sudah bersedia berdepan apa jua rintangan dalam Perdana Satu. Prestasi pemain saya pula semakin menunjukkan peningkatan,'' ujar Hatem.

Beliau melihat satu persatu pemain yang menjadi kekuatan Brunei khususnya trio import selain keupayaan lawan mara hingga ke separuh akhir Piala Malaysia sebelum disekat oleh Pahang musim lalu.

Hatem menjelaskan betapa halangan getir untuk melepasi halangan pusingan kelayakan ke Perdana Satu dilepasi, hanya kempen Perdana Satu buat menimba pengalaman selain mematangkan pemain.

''Pemain saya sudah membuktikan kemampuan sebenar mereka dan saya tidak begitu gusar berdepan dengan lawan yang lebih sengit dalam Perdana Satu.

''Dan berdepan dengan Brunei mereka sudah bersedia untuk memberikan persembahan terbaik,'' katanya.

Biarpun tanpa tiga pemain utama Muhamad Khalid Jamlus, V. Saravanan dan M. Elanggo yang digantung sebulan, Hatem jelas tidak merasakan tempang khususnya di bahagian serangan.

Katanya, sandaran ke atas Azmir Nor Hakim Burhan bergandingan dengan Chow Chee Weng mampu mengembalikan kekuatan jentera serangan.

''Saya yakin dengan kewibawan Azmir. Dia mampu melaksanakan tugas dengan baik,'' kata Hatem.

Azmir menjadi hero membenam Johor dengan dua gol satu darinya membantu kemenangan tipis 1-0 di Larkin dan keputusan seri 1-1 di Stadium Merdeka buat Olimpik layak ke Perdana Satu.

Dengan perkhabaran gembira tiada seorangpun pemain ditimpa kecederaan, Hatem dijangka membariskan tenaga utama melayani kehebatan Brunei.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0403&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_08.htm#ixzz4FrH3LLQk © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan