Isnin, 25 Julai 2016

Weigang uji 4 tonggak

ARKIB : 25/01/1998
JURULATIH, Karl Weigang akan menguji empat tonggak baru Perak termasuk bekas pemain Selangor, Shahrin Majid dalam dua perlawanan ujian di Stadium Perak, Ipoh malam ini dan esok KAMARUDDIN ISMAIL melaporkan.

Selain Shahrin, seorang lagi bekas pemain Selangor, Abdul Talib Sulaiman; bekas penjaga gol Pulau Pinang, Zambri Mat Ariff dan bekas penjaga gol Negeri Sembilan, V. Murugan akan diuji.

Pengurus Pasukan, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar memberitahu perlawanan ujian ini merupakan permainan antara pemain Perak sesama sendiri.

Keempat-empat pemain tersebut 'dibeli' oleh Perak bagi menggantikan sembilan orang pemain yang tidak disambung semula kontrak mereka dan berpindah ke negeri lain.

Enam pemain Perak yang berhijrah ke negeri lain ialah Ahmad Shahrul Azhar, Syamsol Saad, Chee Wan Hoe, Zainal Abidin Abu Bakar, Abdul Ghani Malik dan Amzanie Che Ani.

Ahmad Shahrul berpindah ke Negeri Sembilan, Syamsol beralih angin ke Terengganu, Wan Hoe pula mencuba nasib dengan skuad Pulau Pinang.

Zainal Abidin merajuk hati ke Kedah, Ghani pulang semula ke pangkuan Kuala Lumpur dan Amzanie pula masih merahsiakan pasukan yang akan disertainya.

Azmi Mahmud dan Azhar Ahmad adalah penjaga gol musim lalu yang tidak ditawarkan lagi kontrak bagi musim ini dan begitu juga dengan Paul Raj.

Pengurus pasukan itu berkata, perlawanan ujian malam ini dan esok penting bagi Weigang yang sedang membentuk kerangka utama skuad Perak kelak.

''Perlawanan ujian ini juga membolehkan Weigang menilai keupayaan semua pemain supaya dapat menyusun corak latihan sebenarnya selepas Hari Raya Puasa ini,'' kata Raja Ahmad di Ipoh semalam.

Selain itu katanya, dalam perlawanan ujian tersebut masih terdapat beberapa pemain muda yang ingin mencuba nasib dengan skuad Seladang ini.

''Skuad Perak sudah mempunyai senarai pemain yang hampir lengkap tetapi jika pemain-pemain berkenaan berjaya meyakinkan Weigang mungkin khidmat mereka boleh digunakan kelak,'' tambahnya.

Pengurus pasukan itu berkata, Mat Zahir Wahab, Azrul Amri Burhan dan Suhaimi Mat Lazim yang mengalami kecederaan teruk musim lalu akan turut bermain malam ini.

''Perlawanan ujian malam ini bermula pukul 10.00 malam selepas sembahyang sunat trawih,'' ujarnya.

Mengenai Mat Jaya Kassim dan Suharmin Yusoff, Raja Ahmad berkata, Perak masih menanti jawapan mereka.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0125&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4FQvT3LId © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan