Jumaat, 29 Julai 2016

Olimpik lepas peluang

ARKIB : 05/04/1998
KELEBIHAN bermain di gelanggang sendiri kali ini tidak memihak kepada Olimpik 2000 apabila seri 0-0 dengan Brunei pada perlawanan pembukaan bola sepak Perdana Satu di Stadium Merdeka, malam tadi, lapor AMRAN MULUP.

Keputusan itu meneruskan episod malang Olimpik yang tewas pada dua perlawanan di gelanggang sendiri kepada Pulau Pinang dan Melaka dengan 1-0 pada pusingan kelayakan ke Perdana Satu, bulan lepas

Namun, perlawanan malam tadi sepatutnya menjadi milik mutlak Olimpik tetapi nasib sahaja tidak memihak dengan empat peluang yang pastinya menggegar gawang lawan.

Chow Chee Weng terlepas dua peluang pada minit ke-49 dan 57 manakala setiap satu menerusi Azmir Nor Hakim Burhan (19) dan Hairun Haled Masrom (70).

Bagaimanapun, perlawanan dicemari aksi kasar pemain Brunei ke atas Olimpik sehingga memaksa pemain pertahanan, Yuzaiman Zahari diusung keluar padang akibat kecederaan di hidung.

Brunei memulakan rentak dengan garang tetapi penjaga gol Olimpik, Jamsari Sabian bijak menangkap kemas tandukan kencang Mohd. Brian Bothwell Abdullah mini ke-7 dan Rafael Patron Akapo (12).

Pada minit ke-19, tuan rumah bangkit cuba mengimbangi lawan, namun Azmir terlepas peluang terbaik mencipta jaringan awal.

Bermula dengan tipu helah ke atas Suni Mat Jerah, Azmir tangkas berlari berseorangan tetapi dia gopoh bila melakukan sepakan liar ke gawang lawan.

Pada minit ke-27, Gilbert Cassedy nyaris-nyaris meletakkan Olimpik di depan apabila sepakan percumanya dari luar kotak penalti sekadar menyinggahi palang gol.

Empat minit selepas babak kedua bermula Olimpik 2000 sekali lagi dihampakan dengan sepakan lemah Chow Chee Weng mudah ke dakapan Mohamad Yunus selepas mendapat umpanan cantik Azmir.

Chee Weng hampa buat kali kedua pada minit ke-57 biarpun berjaya melepasi kawalan Zannoun Farouk Al-Hassan tetapi dia melakukan rembatan liar melewati palang gol.

Pada minit ke-66, kesilapan pemain pertahanan S. Jayaprakash gagal menanduk kemas bola hantaran ke belakang nyaris membawa padah tetapi lega kegopohan penyerang veteran pelawat, Rosanan Samak menyepak liar dalam keadaan pintu gol tidak dikawal.

OLIMPIK 2000: Jamsari Sabian, Nik Ahmad Fadly Nik Leh, Johnny Joseph, Chia Ching Kar, S. Jayaprakash, Azmir Nor Hakim, Chow Chee Weng (Hairuddin Omar), Lim Chan Yew, Gilbert Cassedy (M. Gopalan), Tengku Hazman Raja Hassan, Yuzaiman Zahari (Hairun Haled Masrom).

BRUNEI: Mohamad Yunus Yusof, Martilu Mohamad (Awangku Sallehuddin), Rosli Liman, Liew Chuan Yew, Md Brian Abdullah Bothwell, Azmanuddin Gillen, Rosanan Samak (Johan Jinin), Rafael Patron Akapo, Suni Mat Jerah (Nordin Tujoh), Irwan Mohamad, Zannoun Farouk Al-Hassan.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0405&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4FrTFU5r6

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan