ARKIB : 18/01/1998
PERAK yang dilanda masalah
ketiadaan penjaga gol berwibawa selesai apabila penjaga gol utama Pulau Pinang,
Zamri Mat Aris bersetuju menyarung jersi skuad Seladang dalam Liga Perdana
musim akan datang.
Zamri, 28, telah menandatangani
kontrak untuk dua tahun bersama-sama Perak di hadapan Pengurus Pasukan, Datuk
Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar di Ipoh semalam.
Penjaga gol Pulau Pinang itu
merupakan pemain luar yang ketiga bersetuju mewakili Perak musim ini selepas
kehadiran dua pemain Selangor, Abdul Talib Sulaiman dan Shahril Majid.
Zamri merupakan penjaga gol
utama skuad Pulau Mutiara itu bagi musim 1996 dan 1997.
Beliau yang berasal dari
Terengganu pernah beraksi dengan negeri asalnya pada tahun 1989 hingga 1992
sebelum beraksi dengan Majlis Perbandaran Subang Jaya dari tahun 1993 hingga
1995.
Kehadiran Zamri itu sekaligus
menambahkan persaingan antara beliau dengan bekas penjaga gol Negeri Sembilan,
V. Murugan dan Suhaimi Mat Lazim.
''Saya percaya persaigan antara
Zamri, Murugan dan Suhaimi akan meningkatkan lagi mutu persembahan mereka
kelak,'' kata Raja Ahmad di Ipoh semalam.
''Perak menghadapi masalah
berat di pintu golnya apabila Azmi Mahmood dan Azhar Ahmad gagal mempamerkan
persembahan yang berkesan,'' ujarnya.
Raja Ahmad percaya kehadiran
ketiga-tiga penjaga gol tersebut akan menyelesaikan masalah gawang Perak musim
depan.
Penjaga gol, Azhar Ahmad
mungkin kehilangan tempat dalam skuad Seladang musim depan kerana beliau belum
lagi ditawarkan kontrak oleh Perak.
''Perak masih berusaha
mendapatkan penyerang Sabah, Mohd. Jaya Kassim dan Suharmin Yusof,'' ujarnya.
Pengurus pasukan itu sudah
menghubungi Mohd. Jaya dan penyerang tersebut meminta sedikit masa untuk
berfikir tentang tawaran Perak.
Sementara itu, kedudukan pemain
tengah, Ahmad Shahrul Azhar masih menjadi tanda tanya apabila pemain itu masih
belum menandatangani kontraknya.
''Saya tidak tahu mengapa
Shahrul belum muncul lagi walaupun sudah berjanji akan terus kekal dengan skuad
Perak,'' kata Raja Ahmad.
Sukan Utusan difahamkan Shahrul
tidak berpuas hati dengan tawaran gaji oleh Perak yang dianggap murah dan Kuala
Lumpur pula menawarkan gaji yang lebih lumayan.
''Saya berharap pemain tengah
itu akan berpegang kepada janjinya untuk terus mewakili Perak musim ini,'' kata
Pengurus Pasukan tersebut.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0118&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4FQFvSYvj
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan