Jumaat, 22 Julai 2016

NS terkejut Azmi kembali ke Johor

ARKIB : 03/01/1998
KEPUTUSAN penyerang skuad Negeri Sembilan, Azmi Mohamed untuk kembali menyarung semula jersi pasukan Johor sebagai menghadapi cabaran Liga Perdana musim ini memeranjatkan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), lapor SHAZALI HUSSAIN.

Setiausaha Kehormat PBNS, Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, beliau terkejut setelah terbaca berita mengenai hasrat bekas penyerang kebangsaan itu kembali bersama skuad Johor.

''Memang saya terkejut kerana tiga hari lalu (Rabu) saya ada bertemu dengan Azmi ketika ingin membeli juadah berbuka puasa, tetapi tidak ada sebarang reaksi dari Azmi,'' katanya ketika dihubungi di Seremban, semalam.

Menurut Abdullah Sani, beliau sebenarnya tidak kecewa dengan hasrat pemain itu akan mewakili semula Johor, tetapi merasa aneh dengan alasan Azmi bahawa jurulatih M. Karathu tidak lagi menjadi jurulatih pasukan negeri.

Azmi, 26, bekas pemain pasukan Olimpik menyertai Negeri Sembilan dua tahun lalu dan sewaktu bersama negeri bintangnya bersinar sehingga dipilih mewakili skuad kebangsaan ke Sukan SEA Jakarta tahun lepas.

''Alasan seperti ini menggambarkan Azmi bukanlah pemain profesional kerana pemain profesional tidak memilih siapa yang menjadi jurulatih,'' jelasnya.

Menurut Abdullah Sani, sekiranya Azmi tidak berpuas hati dengan gaji atau lain-lain kemudahan yang ditawarkan dia masih boleh berjumpa dengannya untuk berbincang.

Abdullah berkata, sekiranya Azmi menganggap Johor lebih profesional kenapa dia memilih Negeri Sembilan untuk meneruskan kerjayanya dua tahun lalu. ''Bagaimanapun, saya ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada Azmi dan berharap akan menjadi seorang pemain yang benar-benar profesional,'' ujarnya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4FDAwqPUX © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan